
SANDAKAN – Seramai 375 murid tahun satu daripada enam buah sekolah rendah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai (Sg) Manila menerima manfaat menerusi Program Kembali Ke Sekolah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sg Manila, Hazem Mubarak Musa berkata, program berkenaan mendapat sambutan amat menggalakkan daripada ibu bapa serta murid sekali gus membuktikan keperluan inisiatif kebajikan seperti itu diteruskan secara konsisten.
“Pada hari ini, kita mengagihkan perlengkapan sekolah kepada murid-murid yang terlibat selain turut menyediakan kek sempena sambutan ulang tahun sebagai tanda penghargaan dan untuk memeriahkan suasana.
“Program ini merupakan aktiviti kedua dalam rangkaian program kemasyarakatan yang dirancang sepanjang tahun ini selepas penganjuran program potong rambut percuma pada minggu lalu sebagai persediaan awal sesi persekolahan baharu,” ujarnya ketika ditemui media selepas merasmikan program Kembali Ke Sekolah, di Dewan Taman Cahaya, di sini, pada Ahad.

Beliau menambah, pelbagai lagi program kebajikan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa termasuk inisiatif khas sempena bulan Ramadan selaras dengan usaha mendekati rakyat dan meringankan beban golongan memerlukan.
Dalam perkembangan lain, Hazem turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menjawat jawatan sebagai Ketua Sawit Kinabalu.
Katanya, jawatan tersebut lazimnya disandang oleh Ketua Menteri sendiri justeru pelantikan berkenaan merupakan satu amanah besar yang akan dipikul dengan penuh tanggungjawab.
“Memandangkan Sg Manila merupakan kawasan penempatan transmigrasi yang majoritinya bergantung kepada industri kelapa sawit saya berharap peranan ini dapat dimanfaatkan untuk membantu masyarakat setempat,” ujarnya.
Beliau memaklumkan akan memulakan tugas rasmi minggu hadapan dengan fokus memastikan Sawit Kinabalu terus kekal sebagai aset strategik negeri yang diurus secara berintegriti dan berdaya saing sekali gus memberi manfaat kepada kerajaan serta rakyat Sabah.






