
LAWAS – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Lawas menahan sembilan warga asing dalam dua operasi berasingan dikenali sebagai Ops Sapu dan Ops Kutip yang dijalankan di sebuah rumah kongsi tanpa nombor di Kampung Long Sebangang Asal serta sekitar daerah Lawas, baru-baru ini.
JIM Sarawak memaklumkan dalam satu kenyataan bahawa operasi tersebut bermula sekitar jam 11.30 malam susulan maklumat serta aduan yang diterima daripada orang awam.
Menurut kenyataan itu, sepasukan pegawai penguat kuasa Imigresen Lawas digerakkan bagi mengambil tindakan segera berhubung kehadiran warga asing yang disyaki melanggar undang-undang imigresen negara.
“Tindakan segera ini menunjukkan komitmen jabatan dalam memastikan undang-undang sentiasa dipatuhi dan ketenteraman awam terus terpelihara,” jelas kenyataan tersebut.
Hasil pemeriksaan mendapati seramai sembilan lelaki warga asing ditahan dalam kedua-dua operasi berkenaan.
Siasatan awal mendapati kesemua individu terbabit dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan telah ditahan untuk siasatan lanjut serta tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang.
Tambah kenyataan itu, JIM Lawas akan terus mempergiatkan penguatkuasaan serta memperkukuh pemantauan dari semasa ke semasa bagi membendung pelanggaran undang-undang imigresen.
“Pihak jabatan amat menghargai kerjasama orang awam yang tampil menyalurkan maklumat demi memastikan keselamatan, kedaulatan negara dan kesejahteraan komuniti setempat terus terjamin,” menurut kenyataan tersebut.






