KUALA LUMPUR – Rakyat Kelantan diseru memberi peluang kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir negeri itu semula agar pelbagai isu yang gagal diselesaikan pentadbiran sedia ada dapat dinoktahkan.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Jeli, Wan Mahussin Wan Zain berkata, harapan itu diluahkan kerana beliau mahu melihat
rakyat Kelantan menikmati pembangunan dan kemudahan seperti di negeri lain.
Menurutnya, rakyat Kelantan perlu berhenti berdolak-dalik dan membuang rasa ego kononnya menolak pembangunan, sedangkan realiti semasa menyaksikan kebanyakan mereka berhijrah ke negeri lain untuk mencari rezeki serta menikmati pembangunan lebih baik.
“Kita (rakyat Kelantan) tak boleh ego, kononnya kita tidak mahu bekalan air bersih, sedangkan kita berduyun-duyun ke negeri lain untuk mencari air bersih.
“Jadi saya harap rakyat Kelantan dapat membuat perubahan, berilah (peluang) kepada UMNO sekali lagi untuk kami ulangi kejayaan selama 12 tahun sebelum ini, ketika menjadi kerajaan negeri.
“Apa yang ada di Kelantan ketika ini adalah hasil sentuhan UMNO dan BN dan ini tidak boleh dinafikan,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Sabtu.
Sementara itu, Wan Mahusin berkata, UMNO dan BN Kelantan kekal optimis mampu menyumbang kerusi Parlimen supaya parti tersebut mampu menjadi kerajaan Pusat, meskipun sukar membentuk kerajaan negeri.
“Ia berdasarkan sokongan seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang menyaksikan parti itu mampu merampas semula kerusi daripada pembangkang,” katanya.
PAU 2025 berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur di sini, akan melabuhkan tirainya hari ini, selepas ditangguhkan dua kali pada Ogos dan November lalu untuk memberi laluan bagi persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah.


