
KOTA KINABALU – Isu sekolah daif khususnya di kawasan luar bandar Sabah akan diberi perhatian serius termasuk lawatan ke Kampung Lajong Kudat dalam masa terdekat bagi meneliti masalah sebenar yang dihadapi.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, beliau akan turun padang untuk membuat lawatan ke sekolah tersebut sebelum mengemukakan laporan lengkap kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Berkaitan dengan sekolah-sekolah daif ini terutama sekali di kawasan luar bandar seperti mana yang berlaku di Lanjong di Kudat.
“Perkara ini saya akan teliti dan saya akan buat lawatan dengan kadar segera dan saya akan maklumkan kepada KPM apa masalah yang sebenarnya,”ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Amanat Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Tahun 2026, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada Khamis.
Tambah James, Kementerian berkenaan akan turut menaik taraf semua sekolah-sekolah yang masih daif di Sabah ini dalam masa terdekat
“Keutamaan akan diberikan kepada projek Skala 6 yang melibatkan kos di bawah RM1 juta kerana proses pelaksanaannya lebih cepat berbanding Skala 7 yang melibatkan kos melebihi RM1 juta.
“Kementerian akan membangkitkan beberapa perkara yang perlu diambil tindakan oleh KPM khususnya untuk negeri Sabah di mesyuarat Exco Kebangsaan yang bakal berlangsung dalam masa terdekat ini,”katanya.





