
MIRI – Pelaksanaan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan Krokop 5 yang dijadualkan siap dalam tempoh empat bulan, perlu dilaksanakan dengan menitikberatkan aspek keselamatan orang awam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut merangkap Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, kontraktor yang dilantik perlu memberi perhatian serius terhadap keselamatan persekitaran sepanjang tempoh pembinaan.
Tegasnya, komunikasi dua hala yang berkesan antara kontraktor dengan peniaga serta penduduk setempat amat kritikal bagi meminimumkan gangguan operasi harian mereka.
“Pihak kontraktor diingatkan supaya sentiasa peka dan memastikan langkah-langkah keselamatan dipatuhi sepenuhnya.
“Komunikasi berterusan dengan komuniti sekitar juga perlu bagi mengelakkan sebarang kesulitan yang tidak diingini,” katanya selepas sesi taklimat dan penyerahan tapak projek kepada kontraktor berkenaan baru-baru ini.
Dalam pada itu, orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada ketika melalui kawasan kerja-kerja pembinaan tersebut demi keselamatan bersama.
Menurut Adam lagi, pemantauan berkala akan dilaksanakan oleh agensi berkaitan bagi memastikan projek tersebut siap mengikut jadual, mematuhi spesifikasi teknikal serta mencapai objektifnya demi kesejahteraan penduduk Krokop.
Foto : Facebook Adun Pujut Adam Yii





