PUTRAJAYA – Penganjuran program yang cuba menyuntik elemen budaya songsang biarpun dikaburi dengan aktiviti rekreasi yang kelihatan normal seperti glamping, jelas dilarang.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, ia adalah satu bentuk mempromosikan perbuatan maksiat dan dosa secara terbuka terutama di negara ini yang meletakkan agama Islam sebagai istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dari perspektif Maqasid Syariah, menurutnya, penganjuran program sedemikian jelas bercanggah dengan prinsip pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl) dalam syariat Islam.
“Ini kerana pensyariatan pernikahan antara pasangan berlainan jantina bertujuan untuk mengembangkan zuriat manusia secara sah, di samping mencegah mafsadah (kerosakan) yang terhasil daripada perbuatan zina dan hubungan sejenis.
“Bahkan, tindakan mempromosikan budaya ini dianggap sebagai menyebarkan fahsya’ (perkara keji) dalam kalangan orang beriman,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.
Sehubungan itu, Ahmad Fauwaz berkata,
penganjur program ‘Glamping With Pride’ yang didakwa mempromosikan gaya hidup dan budaya songsang dinasihatkan membatal atau menghentikan aktiviti yang bertentangan dengan fitrah manusia.

Beliau berpandangan, pihak berkuasa dan pemilik premis rekreasi perlulah lebih peka dan bertegas dalam menapis sebarang aktiviti yang cuba menormalisasikan budaya yang bertentangan dengan enakmen jenayah syariah sedia ada.
“Masyarakat juga diseru agar tidak memberikan sebarang sokongan atau pengiktirafan terhadap program-program yang mempunyai agenda tersembunyi untuk merosakkan aqidah dan akhlak anak muda kita.
“Sikap berdiam diri terhadap kemungkaran yang dipromosikan secara terang-terangan dikhuatiri akan mengundang bala yang menyeluruh. Sebaliknya, masyarakat perlu bersama berusaha untuk mencegah perkara kemungkaran ini mengikut dengan kapasiti dan peranan masing-masing,” katanya.
Tambah beliau, setiap penganjuran program awam di negara ini perlu menghormati sensitiviti agama, undang-undang serta norma budaya tempatan di samping tidak boleh dijadikan platform untuk menormalisasikan budaya yang bercanggah dengan enakmen jenayah syariah sedia ada.
“Penggunaan istilah ‘pride’ yang dikaitkan dengan gerakan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) merupakan satu usaha normalisasi terhadap perbuatan yang jelas diharamkan dalam Islam dan bercanggah dengan nilai moral serta budaya tempatan.
“Agama Islam amat menitikberatkan kesucian akhlak dan keutuhan sistem kekeluargaan yang dibina atas fitrah kejadian lelaki dan wanita.
“Penganjuran program yang menyuntik elemen budaya songsang, walaupun diselindungi aktiviti rekreasi seperti glamping tetap merupakan satu bentuk promosi maksiat secara terbuka,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan penganjur program ‘Glamping With Pride’ dilapor akan meneruskan program itu di Hulu Langat hujung minggu depan, walaupun mendapat bantahan.
Kumpulan dikenali sebagai Jejaka menegaskan program selama dua hari itu adalah ‘retreat’ berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya, dan kesedaran kesihatan.


