PUTRAJAYA – Seorang Panglima tentera dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada Ahad bagi membantu siasatan kes berkaitan penyalahgunaan dana membabitkan pasukan pertahanan negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan tiada sebarang tangkapan dilakukan oleh pegawai penyiasat kes itu.
Azam berkata, setakat ini, hanya pegawai itu yang dipanggil bagi merakamkan percakapan.
“Hari ini kami panggil beliau untuk membantu siasatan dan rakaman percakapan bermula jam 11 pagi tadi.
“Setakat ini tiada tangkapan dilakukan namun rakaman percakapan masih berjalan,” katanya ketika dihubungi, Ahad.
Media sebelum ini melaporkan seorang lagi pegawai pengurusan tertinggi ATM disiasat SPRM dan akan dituduh dalam masa terdekat berkaitan isu rasuah.
Siasatan membabitkan individu terbabit sudah sampai ke penghujung dan jika dipersetujui Peguam Negara pegawai pengurusan tertinggi terbabit akan dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan.
Sebelum ini, bekas Panglima yang disiasat dalam kes rasuah membabitkan tender perolehan Tentera Darat, direman tujuh hari bermula Khamis lalu hingga Rabu depan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Selain itu, seorang daripada isterinya yang turut ditahan SPRM pula direman enam hari, manakala seorang lagi isteri direman tiga hari, bermula hari sama.
TMP sebelum ini turut melaporkan terdapat beberapa suspek lain dikenal pasti SPRM dalam siasatan kes dakwaan rasuah perolehan Tentera Darat membabitkan pegawai kanan.
Pada 29 Disember lalu, SPRM dilaporkan menyita enam akaun bank dipercayai milik seorang pegawai kanan TDM serta ahli keluarganya, bagi membantu siasatan dakwaan rasuah membabitkan perolehan projek TDM.
Azam ketika mengesahkan perkara itu dipetik berkata, satu kertas siasatan telah dibuka bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berhubung kes berkenaan.
Pada 23 Disember tahun lepas, SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan dan menyiasat projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.





