BARISAN Nasional (BN) dijangka mengumumkan calon bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Mahkota ‘dua atau tiga hari lagi’.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, senarai nama calon sudah dikumpulkan dan akan dibawa untuk perbincangan peringkat pimpinan tertinggi.
Katanya, nama calon yang diputuskan untuk bertanding akan diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya rasa (calon yang akan bertanding PRK Mahkota) dijangka diumumkan tidak lama lagi, mungkin dua atau tiga hari lagi.
“Apa pun kita tidak akan umumkan di peringkat akhir, kita usaha memaklumkan siapa calon seperti yang kita buat sebelum ini di PRK Nenggiri dan lain-lain,” katanya selepas merasmikan Pembukaan ‘Global Trends in Engineering and Science Technology Congress (GTEST) 2024’ di Kepala Batas, hari ini.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, UMNO tidak menghalang mana-mana sayap dan bahagian menghantar nama untuk menjadi calon mewakili parti itu.
“(Dalam PRK ini) kita menerima cadangan nama seperti biasa dan tidak menghalang mana-mana sayap sama ada Wanita, Pemuda, Puteri ataupun peringkat bahagian sendiri menghantar nama (calon).
“Paling mustahak ialah apabila keputusan dibuat majlis tertinggi khususnya BN nanti, maka itu adalah calon yang akan mewakili kita,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
PRK Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 28 September manakala penamaan calon dan pengundian awal pula ditetapkan pada 14 dan 24 September.


