KUANTAN – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengumumkan peruntukan tambahan RM50,000 untuk naik taraf bangsal nelayan Kampung Beserah bagi tahun 2026.
Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil mengumumkan perkara itu ketika menghadiri Majlis Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Kuantan, di Kampung Pantai Pelindung, dekat sini, semalam.
Dalam majlis itu, seramai lima nelayan dari Balok menerima Bantuan Tabung Kebajikan dan Bencana Alam LKIM sebanyak RM7,000.
Mereka mengalami musibah banjir dan musibah air pasang besar luar biasa yang mengakibatkan bot terbalik dan peralatan memancing hanyut ketika bencana itu berlaku pada November lalu.
Dalam majlis sama, seramai 36 nelayan Zon A dari Kampung Pantai Pelindung, Kuantan (ahli Persatuan Nelayan Kawasan Kuantan) yang berpendapatan rendah dan daripada golongan B40, menerima bantuan bakul makanan iaitu bekalan makanan harian seperti beras, gula, minyak, tepung, kicap, sardin, kopi dan teh.
Jumlah Bantuan Tabung Kebajikan dan Bencana Alam LKIM bagi tahun 2025 adalah sebanyak RM95,150.00 dan diterima oleh 51 penerima yang terdiri daripada ahli persatuan nelayan seluruh negara.







