
KUANTAN – Seramai 30 ahli Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) dari FELDA Lepar Hilir 04, dekat sini, menyertai program pemantapan kepimpinan di Tasik Kenyir, Terengganu, bermula hari ini.
Program itu hasil inisiatif Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Lepar, Mustaqim Zakaria dengan sokongan penuh daripada Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Mohd Shahar adalah Ahli Parlimen Paya Besar.

Mustaqim berkata, program itu mendapat suntikan semangat daripada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang meluluskan peruntukan khas bagi MBFM FELDA Lepar Hilir 04.
“Sokongan padu dan komitmen berterusan kerajaan negeri diterajui Datuk Seri Wan Rosdy sangat kami hargai.
“Begitu juga kerjasama rapat dan tunjuk ajar daripada Datuk Mohd Shahar, memberi ruang kepada pimpinan MBFM memantapkan lagi jati diri mereka,” katanya.
Program pemantapan itu turut disertai Pengerusi MBFM FELDA Lepar Hilir 04, Hazim Rosly.
Pelbagai aktiviti dirancang sepanjang program tiga hari itu, bertujuan meningkatkan daya tahan dan menambah kemahiran dalam memimpin organisasi seperti MBFM.






