
PUTRAJAYA – Malaysia dan New Zealand sepakat gencatan senjata serta-merta dan berterusan secara komited perlu dilaksanakan bagi menghentikan kekejaman yang sedang berlaku di Gaza, Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam pertemuannya dengan rakan sejawatnya dari New Zealand, Christopher Luxon, pelbagai isu dibangkitkan antara kedua-dua pihak termasuk peperangan yang sedang berlaku di Gaza.
Menurut beliau, pertemuan berkenaan memberi ruang untuk Malaysia menyatakan pendirian dalam sokongan terhadap Hamas dan Palestin berhubung kekejaman yang berlaku sejak tahun 1947–1948 di wilayah tersebut.
“Saya akui dan menghargai kenyataan terbaharu dikeluarkan New Zealand bersama beberapa rakan lain mengenai keperluan gencatan senjata segera dan merangka resolusi damai. Pendirian Malaysia terhadap Hamas jelas dan (pertemuan ini) memberi peluang untuk kita menyatakan pendirian.
“Keganasan ini bermula antara 1947–1948, itu sejarah yang tidak boleh dipadam tetapi ia perlu dihentikan. Seramai 40,000 orang dibunuh oleh satu pihak dan mereka bukan pengganas, itu juga masalah yang perlu diselesaikan,” katanya menerusi sidang media bersama Perdana Menteri Malaysia New Zealand, hari ini.
Terdahulu, Luxon yang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, diberikan sambutan rasmi di Dataran Perdana, di Putrajaya.
Luxon yang tiba di Malaysia semalam untuk kunjungan sulung beliau ke negara ini sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November lalu, disambut Anwar sejurus tiba jam 9.30 pagi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan, Malaysia turut mengambil tanggungjawab untuk menggalakkan Hamas dan Iran mencari jalan perdamaian dalam isu membabitkan Gaza.
“Harus ada perdamaian iaitu gencatan senjata segera daripada segala keganasan terhadap orang awam. Malaysia juga menyokong resolusi UN (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) dan Liga Arab.
“Tetapi ia tidak dilihat begitu menggalakkan ketika ini kerana kurangnya komitmen khususnya daripada Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai pengaruh besar untuk menghentikan keganasan (di Gaza),” katanya.
Dalam pada itu, mengulas berhubung pertemuan dengan Luxon, Perdana Menteri berkata, kedua-dua pihak turut bersetuju memperkukuh dan mempertingkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang khususnya perdagangan, pelaburan, pendidikan dan pelancongan.
Anwar turut memaklumkan, Malaysia juga memohon supaya jumlah pelajar Malaysia ke New Zealand ditambah terutama membabitkan lepasan ijazah dalam bidang baharu yang menjadi kepakaran negara Kiwi tersebut termasuk peralihan tenaga dan teknologi makana
“Kemudian kami berdua bersetuju untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan dalam semua sektor termasuk industri halal. Kedua-dua negara mempunyai potensi dengan hubungan rapat sejak berdekad lalu namun tidak mengambil kesempatan meningkatkan kerjasama,” katanya.
Pelaburan dari New Zealand pada tahun lalu membabitkan 24 projek diluluskan adalah sebanyak RM238.28 juta dan menghasilkan 1,137 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.


