
TAWAU – Polis berjaya memberkas seorang buruh kasar warga asing dipercayai suspek kes bunuh di sebuah rumah di Kampung Ranggu Cina Batu 8, Jalan Apas, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan ke atas lelaki berumur 31 tahun itu dibuat susulan aduan abang mangsa yang menyatakan adiknya, 33, dibunuh oleh seorang individu dikenalinya.
“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Balai Polis Sri Indah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menuju ke lokasi kejadian dan menemui satu mayat lelaki dengan kesan tetakan pada bahagian badan dan kepala di rumah tersebut.
“Polis kemudian berjaya menangkap suspek dan menemui sebilah parang yang dipercayai digunakan untuk menetak mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Jasmin, kejadian bunuh berlaku pada Sabtu kira-kira pukul 8 malam sementara motif kejadian dipercayai telah berlaku salah faham antara mangsa dan keluarga suspek.
Siasatan kemudian dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.





