
LAHAD DATU – Beberapa jalan utama dan perkampungan di daerah ini terjejas banjir kilat dipercayai daripada sistem perparitan selain hujan lebat berterusan, sejak malam tadi.
Antara kawasan terjejas termasuklah Taman Khazanah Indah, Jalan Kampung Cocos Segama, Jalan Bulatan IPD Lahad Datu, Simpang Babul Batu 6 Sapagaya, Jalan Lahad Datu – Tungku (Warung Bibi) dan Jalan Batu 1 Segama.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang panggilan kecemasan bagaimanapun sentiasa dalam keadaan siap siaga.
“Setakat ni tiada lagi panggilan kecemasan berkaitan banjir yang kami terima walaupun bnyak kawasan yang dilanda banjir kilat ataupun lebih kepada air bertakung disebabkan perparitan yang tersumbat,” katanya ketika dihubungi wartawan The Malaysia Press, pada Selasa.

Sehubungan itu, Sumsoa turut menasihati agar penduduk segera berpindah ke tempat yang selamat sekiranya terdapat tanda-tanda banjir akan berlaku di kawasan mereka.
“Jangan tunggu sehingga rumah dinaiki air baru bertindak dan hubungi Bomba segera sekiranya menghadapi sebarang bencana khususnya banjir.
“Pengguna jalan raya juga kurangkan perjalanan sempena musim hujan, pastikan keadaan kenderaan berada dalam keadaan yang terbaik dan jangan mngambil risiko melalui jalan yang ditenggelamu air,” ujarnya.


