
KOTA KINABALU – Situasi semasa banjir di Sabah mencatatkan pertambahan jumlah penduduk terjejas dengan Beaufort merekodkan seramai 606 mangsa melibatkan 203 keluarga sehingga pukul 8 malam, pada Selasa.
Berdasarkan infografik Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Kota Belud serta Tenom masing-masing kekal dengan 260 mangsa daripada 91 keluarga dan 563 mangsa terjejas daripada 210 keluarga.
Di Beaufort, 358 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan kekal (PPK) Slagon, 237 di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Resedensi Pr1ma Wordford Estate dan 11 lagi di Dewan Sri Dayang Shahbandar Padas Damit yang baharu dibuka pukul 2 petang manakala pusat pemindahan Masjid Darul Ikhlas, Kampung Bantandok Lubak masih dalam proses pendaftaran.

Di Kota Belud, kesemua mangsa ditempatkan di Dewan Masyarakat Tun Said manakala di Tenom, keseluruhan mangsa ditempatkan di lima PPS iaitu Dewan Terbuka Labut (154), Rumah Kebudayaan Kg Penontomon (217), Rumah Kebudayaan Mandalom Lama (120), Rumah Kebudayaan Pantongan Saga (44) dan Sekolah Kebangsaan Saga (28).
Secara keseluruhan, sebanyak 19 kampung di tiga daerah dilaporkan terjejas akibat banjir setakat ini membabitkan seramai 349 lelaki, 474 wanita, 296 kanak-kanak lelaki dan 310 kanak-kanak perempuan.
Dalam perkembangan lain, seramai 44 mangsa daripada 12 keluarga yang terjejas akibat kebakaran masih ditempatkan di pusat pemindahan Dewan Sri Keramat.


