PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menegur pengkarya yang menghasilkan lirik lagu yang mengandungi unsur lucah, tidak senonoh.
Katanya, perkara itu bercanggah dengan nilai akhlak dan adab masyarakat khususnya yang memberi pengaruh negatif kepada generasi muda.
Tegasnya, Islam menuntut umatnya menjaga kesucian lidah, pendengaran dan hati.
“Ajaran agama turut mengingatkan agar setiap perkataan yang diucapkan membawa kebaikan serta tidak merosakkan maruah dan akhlak insan.
“Islam meraikan karya seni dan keindahan tetapi seharusnya ia menjadi wasilah mendidik, menenangkan jiwa dan menyebarkan nilai murni, bukan sebaliknya,” katanya menerusi kenyataan, pada Jumaat.
Sehubungan itu, Zulkifli mengingatkan semua penggiat seni, penerbit, pengkarya dan pihak berkaitan mematuhi Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (Edisi Kedua) yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-107 pada 10 dan 11 Februari 2015.
Menurutnya, garis panduan itu dengan jelas menetapkan lirik hiburan hendaklah bebas daripada unsur lucah, maksiat, penghinaan, manipulasi kalimah suci Islam serta perkara yang bercanggah dengan syarak dan nilai kemanusiaan.
“Semua pihak perlu lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan kandungan yang selari dengan adab, budaya serta tuntutan syarak.
“Hiburan yang baik ialah hiburan yang membina jiwa dan memperkukuh akhlak bukan yang melalaikan dan merosakkan.
“Semoga teguran ini diterima dengan hati yang terbuka demi kebaikan bersama dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.



