
SARATOK – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok telah melaksanakan Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah pada ambang Tahun Baharu 2026 bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.
Operasi yang dijalankan pada Rabu, 31 Disember 2025 bermula jam 9.00 malam hingga 2.00 pagi itu diketuai oleh Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie dengan kekuatan seramai 23 pegawai dan anggota polis.
Menurut DSP Mathew, operasi tersebut memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan panas jenayah meliputi daerah Kabong, Saratok dan Roban, khususnya di sekitar pasar, kampung dan taman perumahan.
“Operasi ini bertujuan menurunkan kadar jenayah indeks terutamanya kes kecurian motosikal dan kenderaan selain mempamerkan kehadiran polis secara berterusan bagi memberi rasa selamat kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pihak polis telah memeriksa seramai 25 individu terdiri daripada 15 lelaki dan 10 perempuan, selain memeriksa 30 buah kenderaan.
“Daripada jumlah itu, 18 motosikal, tujuh kereta serta lima van dan kenderaan pacuan empat roda telah diperiksa bagi mengesan sebarang aktiviti mencurigakan atau pelanggaran undang-undang,” jelasnya.
Tambah beliau, operasi bersepadu tersebut turut melibatkan rondaan dan pemeriksaan mengejut (snap check) oleh pelbagai unit termasuk Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bahagian Siasatan Jenayah, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik serta balai-balai polis di bawah pentadbiran IPD Saratok.
Dalam operasi sama, sebanyak 12 keping saman trafik PDRM (K) 257 telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas, khususnya melibatkan penunggang motosikal.
“PDRM akan terus komited menjalankan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan orang awam terjamin serta mencegah sebarang aktiviti jenayah, terutamanya ketika musim perayaan dan sambutan tahun baharu,” tegas DSP Mathew.





