
KANGAR – Menteri Besar Perlis yang baharu, Abu Bakar Hamzah, mengumumkan pemotongan gaji peribadinya sebanyak RM3,000 sebulan sebagai langkah awal menstabilkan ekonomi negeri dan meringankan beban rakyat.
Beliau berkata, langkah sama turut dikenakan kepada barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang bakal dilantik, dengan pemotongan gaji sebanyak RM1,500 sebulan bagi setiap Exco.
Menurutnya, keputusan itu mencerminkan kesediaan kepimpinan negeri untuk berkongsi beban dan berkorban bersama rakyat ketika keadaan ekonomi masih mencabar.
“Saya melihat begini, kita kena beri khidmat kepada negeri dan rakyat sedangkan ada rakyat yang sukar untuk mendapatkan RM500 sebulan, dan itu berat buat mereka,” katanya.
Beliau berkata, pemotongan gaji itu dibuat secara sukarela supaya rakyat dapat melihat kerajaan negeri berdiri bersama mereka, bukan sekadar bercakap dari atas.
Tambahnya, pengorbanan tersebut adalah antara usaha memajukan negeri dan akan dinilai semula apabila keadaan ekonomi bertambah baik.
Abu Bakar berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi ‘Clock-In’ Menteri Besar Perlis di Pejabat Menteri Besar, Kompleks Seri Putra, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, pemotongan gaji peribadinya itu akan diteruskan sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Menteri Besar Perlis.
“Langkah ini juga bertujuan mengurangkan beban perbelanjaan negeri dan saya percaya ia mampu membantu dalam skala yang realistik,” katanya.
Dalam sidang media sama, beliau memaklumkan pentadbiran kerajaan negeri selepas ini akan digerakkan berlandaskan pendekatan 3B iaitu Bangkit, Bingkas dan Buat sebagai hala tuju pentadbiran Perlis.



