
DARO – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki yang dikhuatiri dibaham buaya di Jeti Sungai Kelai, Rumah Panjang Jingga, Pulau Bruit diteruskan pada Isnin.
Memasuki hari ketiga pencarian, mangsa, Agustine Fernando Nyalong, 14, masih belum ditemui sejak dilaporkan hilang pada Jumaat lalu.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi disambung semula seawal 7.36 pagi melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro diketuai Pegawai Bomba Kanan II Sofian Yusuf.
Menurutnya, taklimat operasi telah diadakan bersama Ketua Polis Daro sebelum gerak kerja pencarian dimulakan pada 8.30 pagi menggunakan aset bot penyelamat.
“Hasil pemeriksaan awal pada 9.40 pagi terhadap tiga perangkap buaya yang dipasang sebelum ini mendapati ia tidak mengena.
“Susulan itu, pasukan Sarawak Forestry Corporation (SFC) telah mengambil inisiatif memasang umpan tambahan di lokasi baharu sekitar 10.40 pagi bagi mengesan reptilia berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Operasi SAR ini turut mendapat kerjasama padu daripada penduduk kampung apabila Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Jingga menggerakkan 17 individu bersama lima buah bot bagi melakukan pemantauan di pesisir hilir sungai.
Selain bomba dan polis, misi pencarian ini turut dibantu oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Sarawak Coastguard dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak.
Setakat ini, pasukan penyelamat termasuk Sarawak Coastguard masih meneruskan pemantauan di kawasan hilir sungai, namun tiada sebarang penemuan baharu dilaporkan.




