JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) menegaskan keutamaan gabungan itu ketika ini adalah memastikan kestabilan politik dan keamanan negara terus terpelihara, bukannya terjebak dalam perebutan kuasa politik.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sepanjang lebih tiga tahun Kerajaan MADANI mentadbir negara, gabungan itu tidak pernah menghasut atau merancang untuk mengkhianati rakan dalam Lerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, pendekatan berhikmah dan sederhana yang diambil kerajaan adalah demi memastikan pentadbiran negara kekal stabil selain memberi tumpuan kepada agenda pembangunan rakyat dan ekonomi negara.
“Kalau ikut tempo reformasi, memang banyak perkara yang mahu kita lakukan dengan segera. Tetapi kadangkala kita bergerak dengan cermat kerana kita mahu kekuatan itu kekal kental dan kerajaan terus stabil.
“Politik mesti stabil, negara mesti aman dan semua itu memerlukan kekuatan bersama. Tidak ada sebab untuk kita memecahkan perpaduan melainkan jika dikhianati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, hari ini.
Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, walaupun kerajaan mengambil pendekatan lunak dalam hubungan dengan rakan-rakan politik termasuk negeri pembangkang, ia tidak seharusnya dianggap sebagai tanda kelemahan.
“Kita memilih pendekatan hikmah, runding dengan baik dan tidak menyerang secara terbuka kerana kita faham maksud bil hikmah. Tetapi jangan salah baca pendekatan ini.
“Jangan ugut dan jangan ada tindakan ke arah pengkhianatan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan reformasi yang dibawa PH dibina atas prinsip menolak rasuah, penyalahgunaan kuasa dan budaya mengumpul kekayaan menggunakan kedudukan dalam kerajaan.
“Kita benci budaya menggunakan kuasa untuk mengaut kekayaan. Tidak cukup satu bilion, berbilion-bilion dikumpul menggunakan jabatan dan kuasa.
“Apa pun yang mereka kata, budaya itu sudah berjaya kita hentikan dalam kalangan pimpinan kerajaan hari ini,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan MADANI mengakui masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki, namun pelbagai langkah reformasi dan pengukuhan tatakelola sudah mula dilaksanakan.
“Adakah semuanya sempurna? Belum. Ada kelemahan? Ya. Tetapi kita sudah mulakan perubahan dan tindakan tegas terhadap tokoh besar yang terbabit rasuah mula diambil,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan juga mencatat pelbagai pencapaian termasuk dalam usaha pembasmian kemiskinan, menarik pelaburan asing, memperkukuh perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mengawal inflasi serta mengurangkan kadar pengangguran.
Katanya, pertumbuhan ekonomi negara juga menunjukkan perkembangan positif apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama tahun ini mencatat pertumbuhan lebih baik meskipun ekonomi dunia masih berdepan ketidaktentuan geopolitik dan perdagangan global.






