
INSTITUSI pendidikan berperanan penting dalam membentuk insan yang bermaruah dan berfikiran rasional, sekali gus menyumbang kepada pembinaan negara bangsa yang beradab dan bertamadun.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop berkata, falsafah pendidikan negara dengan jelas meletakkan pendidikan sebagai satu proses menyeluruh yang bertujuan membangunkan potensi manusia secara seimbang dari pelbagai aspek.
Beliau berkata, proses pendidikan itu juga berpaksikan kepada kepercayaan kepada Tuhan selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara, manakala dalam konteks pendidikan Islam, prinsip tersebut dinyatakan secara jelas sebagai berpaksikan kepercayaan kepada Allah SWT.
“Matlamat institusi pendidikan ialah membangunkan karamah insaniah atau maruah serta harga diri insan. Insan diciptakan sebagai khalifah di muka bumi, dan hanya insan yang bermaruah serta berfikir mampu membina peradaban dan menyumbang kepada pembinaan negara bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika siaran podcast Minda Tok Abah yang disiarkan pada Jumaat.
Pada masa sama, Ismail berkata, gagasan Malaysia MADANI yang diketengahkan hari ini bertujuan mengangkat martabat insan serta membina ketamadunan berasaskan nilai, adab dan kebijaksanaan, bukan digerakkan oleh emosi atau nafsu semata-mata.
Mengulas sejarah perjuangan kemerdekaan negara, beliau berkata, kebangkitan menentang penjajahan bermula daripada institusi pendidikan tradisional seperti pondok yang melahirkan tokoh-tokoh ulama serta pemimpin masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan sebarang pendekatan pendidikan yang gagal membangunkan pemikiran dan watak sebagai satu tragedi dalam proses pendidikan.
“Pendidikan bukan untuk melahirkan ketaatan tidak sewajarnya, sebaliknya membina insan yang mampu berfikir berasaskan ilmu, membezakan antara yang benar dan palsu serta bertindak secara beradab dan bijaksana,” katanya.
Ismail juga melahirkan kebimbangan terhadap kewujudan pendekatan melampau dalam sesetengah institusi pendidikan agama yang didakwa mudah menghukum dan mengkafirkan pihak lain.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan sedemikian adalah menyimpang jauh daripada maksud sebenar pendidikan yang seharusnya melahirkan insan berilmu, berakhlak, berfikiran matang dan bermaruah.







