
SARATOK – Seramai 13 individu tempatan didakwa di Mahkamah Saratok pada Isnin berhubung kes penyalahgunaan dadah dalam satu prosiding yang berlangsung pada 22 Disember 2025.
Perbicaraan yang dikendalikan oleh Yang Arif Puan Intan Nurul Ferena Zainal Abidin itu menyaksikan seramai 11 individu didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, dan kesemua tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Manakala, dua lagi individu turut dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, melibatkan kesalahan memiliki dadah berbahaya.
Menurut sumber, semua pertuduhan dikemukakan hasil operasi dan siasatan berterusan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Daerah (IPD) Saratok.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak BSJN IPD Saratok memaklumkan bahawa Operasi Tapis akan terus dilaksanakan secara berterusan bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di sekitar Daerah Saratok.
“Tindakan tegas ini selaras dengan arahan pucuk pimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak untuk membasmi aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah secara menyeluruh,” katanya.
Pihak polis turut menyeru orang awam supaya menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui sebarang aktiviti berkaitan dadah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat terus terpelihara.





