
KUCHING – Polis berjaya menahan seramai 28 individu dipercayai terlibat dalam sindiket pusat panggilan perjudian dalam talian menerusi dua serbuan berasingan di dua unit pangsapuri di Jalan Song pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 2 petang hasil maklumat risikan Op Dadu Mega (Calling Centre) melibatkan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dengan kerjasama Cawangan D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.
Menurutnya, hasil serbuan itu polis menahan 28 individu terdiri daripada tiga lelaki tempatan serta 25 warga asing membabitkan 24 lelaki dan seorang wanita berumur antara 19 hingga 40 tahun.
“Polis turut merampas pelbagai peralatan komputer, telefon bimbit dan peranti berkaitan yang dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti perjudian dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan beroperasi sebagai pusat panggilan dan menggunakan aplikasi WhatsApp serta laman sesawang untuk mempromosikan pelbagai bentuk perjudian dalam talian dengan sasaran pelanggan dari Australia dan China.
“Premis terbabit dipercayai telah beroperasi selama kira-kira empat bulan dan kesemua individu yang ditahan dipercayai bekerja sepenuh masa dalam aktiviti perjudian tersebut,” jelasnya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana mempromosikan aktiviti perjudian yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun dan denda tidak kurang RM5,000 serta tidak melebihi RM50,000 bagi setiap kesalahan jika sabit kesalahan.
Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan, yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000, penjara tidak melebihi lima tahun dan sebatan.
Beliau berkata, semua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching pada Selasa untuk mendapatkan perintah reman dan mahkamah membenarkan tahanan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan lanjut.





