
MIRI – Program sunat selamat anjuran Hospital Miri menjadi platform penting dalam membantu kanak-kanak melangkah ke alam dewasa secara lebih selamat, teratur dan berlandaskan aspek kesihatan yang menyeluruh.
Program berkenaan turut mencerminkan semangat perpaduan apabila melibatkan penyertaan kanak-kanak daripada pelbagai kaum, sekali gus memperkukuhkan keharmonian dan integrasi dalam kalangan masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, Program Sunathon 2025 bukan sahaja memberi pendedahan awal berkaitan penjagaan kesihatan, malah berupaya memupuk perpaduan masyarakat melalui penglibatan kanak-kanak daripada latar belakang berbeza.
“Program seperti ini wajar diteruskan dan diperluaskan dengan sokongan pelbagai agensi termasuk hospital kerajaan, persatuan belia dan badan kebajikan supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program berkenaan pada Sabtu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kakitangan Hospital Miri atas dedikasi serta profesionalisme dalam menjayakan program tersebut, meskipun hospital itu masih baharu beroperasi.
Menurut beliau, usaha penambahbaikan operasi hospital termasuk penyediaan peruntukan bagi teknologi dan fasiliti rawatan penyakit jantung akan terus diperkukuh secara berperingkat demi meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa atas kepercayaan dan sokongan mendaftarkan anak-anak menyertai program berkenaan yang bukan sahaja memberi manfaat dari segi kesihatan, malah membantu membentuk keyakinan diri serta persediaan mental kanak-kanak dalam menghadapi fasa kehidupan yang penting.
Majlis pelancaran program disempurnakan oleh Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Lukanisman Awang Sauni dan diserikan dengan kehadiran Timbalan Datuk Bandar Miri, Tuan Ariffin Mohamad; Pengarah Hospital Miri, Dr Jack Wong Siew Yu; serta barisan kepemimpinan kesihatan dan masyarakat setempat.

Turut hadir Ketua Jabatan Pembedahan Am merangkap Pengerusi Program Sunathon 2025, Dr Aminnur Maliki; Pengerusi Miri Surgical Society, Dr Milaksh Nirumal Kumar; Pengerusi Persatuan Belia Miri, Mohammad Aniq Ashwin Abuzar; Pengerusi PERYATIM Miri, Tuan Haji Julaihi Haji Mohamad; serta ibu bapa dan kanak-kanak peserta.






