
PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim terbukti telah mempamerkan pendekatan yang progresif, inklusif dan berpaksikan dialog sosial sepanjang tempoh perkhidamatan beliau sebagai Menteri Sumber Manusia.
Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkeranian Pos Malaysia (UPCW), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, ini khususnya dalam usaha beliau dalam memperkukuh hubungan antara kerajaan, majikan di samping kesatuan sekerja.
“UPCW merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Yang Berhormat Steven Sim atas segala khidmat bakti, komitmen serta kepimpinan yang telah dicurahkan sepanjang memegang amanah sebagai Menteri Sumber Manusia.
“Pada masa sama, UPCW menghargai keterbukaan beliau dalam mendengar pandangan kesatuan serta memberi perhatian terhadap isu kebajikan dan hak pekerja,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohd Effendy berkata, UPCW juga mengiktiraf sumbangan Steven dalam memacu penambahbaikan dasar buruh negara agar lebih seimbang dan adil.

Katanya, pendekatan itu selari dengan keperluan semasa pekerja termasuk cabaran kos sara hidup dan kesejahteraan tenaga kerja.
“Sehubungan itu, UPCW merakamkan ucapan selamat maju jaya kepada Steven Sim dalam apa jua peranan dan amanah baharu yang bakal dipikul. UPCW turut mengucapkan selamat datang dan tahniah kepada Yang Berhormat Datuk Seri Ramanan atas pelantikan sebagai Menteri Sumber Manusia.
“UPCW berharap kepimpinan beliau akan terus memperkukuh agenda pemerkasaan pekerja dan perlindungan buruh. UPCW kekal komited untuk bekerjasama secara konstruktif dengan Kementerian Sumber Manusia demi kebajikan dan kesejahteraan pekerja,” katanya.
Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan MADANI melibatkan 28 menteri dan timbalan menteri, merangkumi pertukaran portfolio.
Menurutnya, lantikan baharu itu sebagai langkah penstrukturan semula bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran serta memastikan pelaksanaan dasar kerajaan berjalan lebih berkesan.
Sim sebelum ini merupakan Menteri Sumber Manusia manakala Mohamad merupakan Timbalan Menteri Luar.




