PUTRAJAYA – Kepimpinan Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) baharu dilihat akan terus memperkukuh agenda eksport negara seiring dengan keutamaan pembangunan ekonomi Malaysia.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyakini menteri baharu akan memberikan sokongan padu terhadap inisiatif promosi eksport serta pembangunan pengeksport yang diterajui oleh Matrade.
“Pengalaman luas beliau dengan latar belakang profesional yang kukuh dalam bidang kewangan, perakaunan, pengauditan dan hal-ehwal korporat merupakan kriteria penting dalam menyokong pembangunan ekonomi.
“Ini khususnya dalam merangka dan melaksanakan dasar berkaitan pelaburan, perdagangan dan industri.
“Johari pernah memegang beberapa jawatan penting kabinet merangkumi Timbalan Menteri Kewangan (2015-2016), Menteri Kewangan II (2016-2018) serta Menteri Perladangan dan Komoditi sejak 2023.
“Pengalaman itu amat signifikan dalam merangka dasar berkaitan pelaburan, perdagangan, dan industri yang berkait rapat dengan dasar fiskal, insentif percukaian dan aliran modal negara,” katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, pengalaman luas beliau sebagai pengerusi dan pengarah di syarikat-syarikat utama termasuk yang tersenarai di Bursa Malaysia dalam sektor-sektor seperti pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan membuktikan keupayaan beliau membuat keputusan strategik.
Katanya, perkara itu turut memberikan pemahaman praktikal tentang rantaian bekalan global, cabaran pasaran antarabangsa dan keperluan untuk meningkatkan daya saing eksport Malaysia.
“Matrade yakin momentum pencapaian MITI semasa kepimpinan bekas menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan terus dipacu di bawah kepimpinan baharu ini.
“Pelantikan ini juga dilihat tepat bagi mengemudi MITI dan agensi ke arah menjadikan Malaysia hab perdagangan dan industri serantau yang dinamik,” katanya.






