
USAHA pemuliharaan Seri Negara oleh Khazanah Nasional Bhd disifatkan sebagai lambang kedaulatan, jati diri dan roh kemerdekaan negara, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memartabatkan sejarah, seni bina serta warisan nasional, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan bukan sekadar membaik pulih bangunan bersejarah, sebaliknya menjadi simbol usaha mengembalikan maruah dan roh kemerdekaan negara daripada legasi penjajahan, selain mencerminkan semangat Negara MADANI yang menekankan keterangkuman, akses rakyat serta pemerkasaan sejarah, seni dan budaya tempatan.
“Pemuliharaan ini bukan hanya menyentuh rangka fizikal atau nilai seni bina, tetapi menyelongkar makna kemerdekaan, pengalaman sejarah dan harga yang telah dibayar oleh generasi terdahulu untuk sebuah negara merdeka,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penyempurnaan pemuliharaan Seri Negara, di sini, hari ini.
Berangkat hadir ke majlis berkenaan ialah Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.
Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.
Anwar berkata, tapak berkenaan suatu ketika dahulu menjadi simbol keunggulan kuasa penjajah British dan pernah dianggap sebagai lambang elitisme yang terpisah daripada denyut nadi rakyat.
Menurut beliau, meskipun negara mencapai kemerdekaan hasil pengorbanan besar generasi terdahulu, simbol kekuasaan penjajah masih kekal berdiri megah, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai makna sebenar kebebasan dan jati diri nasional.
“Sebab itu, semasa saya muda remaja, saya anggap ini suatu kelompongan, kelemahan. Negara kita merdeka, bapa-bapa, ibu-ibu kita menabur jasa yang besar, merempuh kekuatan raksasa Inggeris yang memerdekakan negara.
“Tapi masih ada simbol yang gagah perkasa atas bukit yang maha tinggi di sekitar Kuala Lumpur yang melambangkan keunggulan penguasa penjajah. Dan sebab itu, kami pada masa itu membantah dan mendesak pada tahun 1982 supaya kerajaan Malaysia mengambil alih dengan cara proses yang adil, memindahkan tempat warisan penjajah ini ke tempat yang lain.
“Perdana Menteri masa itu, Tun (Dr) Mahathir, bersetuju dan kemudian diiktiraf sebagai milik negara tetapi kerana kesedaran tentang erti keunggulan dan keupayaan kita membina suatu simbol yang mengembalikan jati diri itu mungkin kurang.
“Maka ia agak terbiar, ada proses pengendalian swasta yang menyebabkan ia lemah dan luntur. Sebab itu, saya hargai benar peranan Khazanah dan rakan-rakan yang membantu memberikannya simbol,” katanya.
Anwar turut mengakui bahawa tanpa kefahaman sejarah yang mendalam, pemilikan semata-mata tidak mencukupi, malah pengurusan berasaskan komersial berisiko menghakis roh dan makna warisan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menghargai usaha Khazanah dan rakan strategik yang menghidupkan kembali Seri Negara melalui pengisian berteraskan sejarah perjuangan, seni dan budaya tempatan dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Pengisian ini penting untuk mendedahkan generasi muda bahawa kemerdekaan bukanlah sesuatu yang mudah dicapai, sebaliknya dibayar dengan keringat, pengorbanan dan air mata.
“Anak-anak kita perlu memahami liku-liku sejarah ini supaya mereka lebih mengenali peranan dan tanggungjawab sebagai pewaris negara,” katanya.
Perdana Menteri berkata, buat pertama kali dalam sejarah, pemuliharaan Seri Negara dilaksanakan secara teliti dengan kemahiran serta kepakaran tersendiri dan dimanfaatkan oleh seluruh lapisan rakyat.
“Jadi, saya percaya kita boleh atur supaya anak-anak bila datang dan saya yakin kerana saya melihat apa yang diusahakan sebelum ini, itu bagi saya agak menarik.
“Saya tidak boleh menyebut, saya hanya beri kerangka besar idea, yang lain itu jasa mereka. Kerana saya mengatakan biar inklusif, biar indah, biar pertahankan seni budaya tempatan, itu sahaja. Satu ayat yang mereka catat dalam satu buku. Jadi, terima kasih.
“Jadi, sebab itu saya menyatakan bahawa semangat ini harus ada dalam kalangan kita, tatkala membicarakan soal kemampanan, pembangunan bahawa manfaatnya itu harus dihirup dan dinikmati oleh rakyat terbanyak dan ini satu permulaan yang baik,” katanya.





