11,657 hektar sawah MADA terjejas akibat banjir, kerugian hampir RM20 juta

ALOR SETAR – Banjir yang melanda kawasan Muda di Kedah dan Perlis sejak 23 November lalu mengakibatkan 11,657 hektar sawah padi terjejas dengan kerugian hampir RM20 juta dan menjejaskan pendapatan lebih 5,500 pesawah.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh berkata, Wilayah I Perlis mencatatkan kawasan paling luas terjejas iaitu 5,721 hektar, diikuti Wilayah II Jitra (5,648 hektar), Wilayah III Pendang (271 hektar) dan Wilayah IV Kota Sarang Semut (16.74 hektar).

Menurutnya, kebanyakan tanaman padi yang musnah berada pada usia antara tujuh hingga 45 hari, sekali gus menjejaskan jadual penanaman musim 2/2025 dan memberi kesan besar kepada sumber pendapatan pesawah.

“Kita jangkakan kerugian sebenar mungkin melebihi RM20 juta kerana ia bukan sahaja melibatkan hasil tanaman, tetapi juga kos benih, upah membajak dan pelbagai input lain yang telah dilaburkan oleh pesawah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MADA, di sini hari ini.

Jelas Ismail, MADA telah mengemukakan permohonan peruntukan pascabanjir kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada 7 Disember lalu bagi membantu pesawah yang terjejas.

Katanya, sementara menunggu kelulusan, pihaknya telah menyalurkan dana kecemasan sebanyak RM611,000 bagi melaksanakan kerja-kerja segera di kawasan sawah yang terjejas.

“Selain itu, lebih RM1 juta turut diperuntukkan untuk kerja pembersihan saliran, pengairan, laman ladang dan tali air. Secara keseluruhan, kos pemulihan di kawasan banjir dianggarkan mencecah RM11.2 juta,” ujarnya.

Ismail turut memaklumkan bahawa bancian terperinci sedang dijalankan bagi memastikan semua pesawah yang terjejas menerima bantuan sewajarnya, termasuk melalui Skim Takaful Tanaman Padi (STTP).

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, paras takungan air di tiga empangan utama MADA setakat 11 Disember berada pada tahap stabil iaitu 65.69 peratus di Empangan Pedu, 99.72 peratus di Empangan Muda dan 68.45 peratus di Empangan Ahning.

“Walaupun diuji dengan bencana, MADA kekal komited memastikan bekalan padi negara tidak tergugat. Kawasan Muda yang meliputi 100,641 hektar dan diusahakan oleh 55,904 pesawah terus menjadi tunjang utama pengeluaran padi negara, menyumbang antara 35 hingga 40 peratus setiap tahun,” katanya lagi.

Tambah beliau, prestasi pengeluaran padi pada 2024 menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 790,658 tan metrik berjaya dituai berbanding 775,186 tan metrik pada 2023.

“Peningkatan ini hasil kejayaan pelaksanaan Projek Ladang Pintar IR4.0 yang menggabungkan penggunaan teknologi seperti Internet of Things (IoT), sensor tanah dan air, dron serta pemantauan digital melalui platform Pintar4U di kawasan seluas 42,322 hektar di bawah Program Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) Bohor A, Jitra,” tambahnya.

Related Posts

Pakatan Harapan tidak pernah sentuh kuasa pengampunan Agong

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) tidak pernah mempertikaikan kuasa dan autoriti Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu dalam memberikan pengampunan, termasuk berhubung isu pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
MB Negeri Sembilan rela hati tandatangani proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz – Peguam

SEREMBAN – Tiada sebarang unsur paksaan terhadap Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim untuk menandatangani dokumen proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 3 Ogos…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pakatan Harapan tidak pernah sentuh kuasa pengampunan Agong

Pakatan Harapan tidak pernah sentuh kuasa pengampunan Agong

MB Negeri Sembilan rela hati tandatangani proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz – Peguam

MB Negeri Sembilan rela hati tandatangani proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz – Peguam

Anwar mahu PKR Sabah perkukuh kesatuan, persiap jentera PRU

Anwar mahu PKR Sabah perkukuh kesatuan, persiap jentera PRU

Sabah jadi tuan rumah Mesyuarat MTPMA63 di SICC

  • By Ithma
  • September 10, 2026
Sabah jadi tuan rumah Mesyuarat MTPMA63 di SICC

Anwar mulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah

Anwar mulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah

Perdana Menteri disaran jawab dakwaan, isu integriti kerajaan

Perdana Menteri disaran jawab dakwaan, isu integriti kerajaan