KUALA LUMPUR – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memaklumkan diberi kebenaran untuk meneruskan tuntutan undang-undang terhadap bank swasta Switzerland, BSI.
Tuntutan itu dibuat susulan kerugian kewangan akibat pemindahan dana tidak dibenarkan agensi yang terpalit skandal kewangan menyebabkan kejatuhan pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2018.
1MDB mendakwa BSI memudahkan proses pemindahan dana dan merancang skim pengubahan wang haram yang menyebabkan pencurian asetnya.
Katanya, keputusan Mahkamah Tinggi di Singapura menolak permohonan BSI membatalkan tuntutan bernilai AS$394 juta (RM1.69 bilion) difailkan 1MDB dan anak syarikatnya terhadap bank itu, memberi ruang kepada tuntutan itu diteruskan.
Menerusi kenyataan jurucakap lembaga pengarah syarikat itu berkata, 1MDB ‘berpuas hati’ dengan keputusan berkenaan.
“Kami komited memastikan institusi dan individu terbabit dalam penyalahgunaan wang dari dana Malaysia akan diambil tindakan, selain memastikan pemulihan dan pengembalian aset ini kepada rakyat,” katanya.
BSI kini tertakluk kepada penyelesaian hutang-piutang pada 2017.
Ia adalah tindakan penjualan aset organisasi apabila tidak lagi mampu untuk menanggung kos operasi dan bersaing secara kompetitif yang akan membawa kepada penamatan operasi secara kekal.
Tuntutan terhadap BSI itu adalah sebahagian daripada usaha global berterusan 1MDB memulihkan wang yang mengalir dari syarikat itu.







