
PUTRAJAYA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Jafry Ariffin kini dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah baharu bagi menggantikan Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia pada 5 Disember lalu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, pelantikan tersebut dibuat oleh Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaras dengan Fasal 12.5 Perlembagaan UMNO bertujuan memperkukuh hala tuju parti di negeri itu
“Pelantikan ini bertujuan memastikan kesinambungan pentadbiran, memperkukuh penyelarasan parti serta mengkoordinasikan gerak kerja UMNO di Sabah secara lebih tersusun dan berkesan.
“Jafry akan dibantu Datuk Mohd Hasnol Ayub sebagai Timbalan Pengerusi dan Samasuddin Yusop sebagai Setiausaha Agung,” katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.
Dalam pada itu, Asyraf menyeru seluruh kepimpinan dan ahli UMNO agar memberikan sokongan penuh kepada barisan kepimpinan baharu itu bagi memastikan parti terus relevan dan berupaya berkhidmat kepada rakyat.
“Pelantikan Jafry juga dijangka membuka ruang kepada penyusunan semula strategi parti, khususnya di peringkat akar umbi, memandangkan Sabah kekal sebagai negeri penting dalam percaturan politik nasional.
“Langkah itu turut dilihat selari dengan usaha memantapkan kembali kekuatan UMNO Sabah selepas melalui beberapa cabaran politik sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.
Jafry yang sebelum ini memegang jawatan Setiausaha UMNO Sabah memenangi kerusi DUN Sukau dengan majoriti 1,234 undi.
Awal Disember lalu, Jafry mengangkat sumpah jawatan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar selepas pembentukan Kerajaan Negeri Sabah yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Noor, selaku Ketua Menteri.





