
MIRI – Program Bantuan Lesen Memandu (MyLesen) kelas B2 anjuran Parlimen P.219 Miri menutup tirai dengan pencapaian membanggakan apabila seramai 1,320 peserta berjaya memperoleh lesen memandu motosikal.
Program ini merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), khusus untuk membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan lesen yang sah dan diiktiraf.
Dalam majlis perasmian penutupan, Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man menegaskan bahawa MyLesen bukan sekadar program pemberian lesen semata-mata, tetapi sebuah usaha memperkasa rakyat, khususnya golongan B40, agar mempunyai akses kepada peluang pekerjaan yang lebih luas, terutamanya dalam sektor pengangkutan dan logistik.
Beliau memaklumkan bahawa penganjuran kali ini merupakan kesinambungan kepada program pertama pada tahun 2024 yang telah berjaya melahirkan 914 pemandu berlesen.
Menurut beliau, kejayaan program MyLesen B2 ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam mendekati rakyat di peringkat akar umbi melalui bantuan yang praktikal dan memberi impak langsung kepada kehidupan masyarakat.
Beliau turut menekankan bahawa lesen memandu adalah simbol kepercayaan kerajaan terhadap rakyat terutamanya anak muda, agar mereka mematuhi undang-undang dan mengamalkan pemanduan berhemah.
Beliau menambah, para peserta yang menerima lesen melalui program ini diharapkan dapat memainkan peranan dalam menurunkan kadar kemalangan jalan raya.
Usaha ini selari dengan aspirasi kerajaan untuk mengurangkan kadar kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030.





