IPOH – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun antara sembilan individu yang ditahan selepas didapati positif dadah dalam Ops Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Pasir Putih berhampiran Station 18, di sini, pada Ahad.
Operasi selama 12 jam bermula tengah malam itu disertai 113 anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Perak dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perak.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kesemua lelaki tempatan yang ditahan kerana positif dadah disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998).
Menurutnya, pemeriksaan terhadap 335 individu berusia 15 hingga 42 tahun dilakukan sepanjang operasi, manakala 115 motosikal dan 82 kereta turut diperiksa.
“Terdapat juga dalam kalangan mereka merupakan pelajar sekolah menengah dan lepasan SPM,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, sebanyak 30 motosikal disita atas kesalahan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, sementara seorang lelaki ditahan kerana menunggang secara melulu dan membahayakan mengikut Seksyen 42(1) akta sama.
Dalam operasi itu, polis dan agensi terlibat mengeluarkan 158 saman trafik, 82 saman serta notis JPJ, selain 11 kompaun dan notis JAS atas pelbagai kesalahan.






