
KOTA KINABALU – Kerajaan memutuskan untuk menaikkan had kelayakan pelaksanaan e-invois bagi syarikat daripada RM500,000 kepada RM1 juta, sekali gus memberi kelegaan kepada ribuan usahawan kecil dan sederhana di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam selepas kerajaan meneliti rungutan serta kebimbangan yang dibangkitkan para peniaga kecil.
“Semalam dalam mesyuarat Jemaah Menteri itu dah putuskan peringkat awal iaitu ambang yang syarikat ini jumlah RM500 ribu itu dibatalkan dan dinaikkan RM1 juta minimal.
“Jadi maknanya syarikat-syarikat kecil tidak perlu lagi dipaksa e-invois untuk sekarang,” katanya ketika berucap di Majlis Sentuhan MADANI Bersama Rakyat Sabah di Pusat KOnvenseyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, kenaikan had daripada RM500,000 kepada RM1 juta itu merupakan langkah awal, manakala kajian lebih terperinci akan dilakukan bagi menentukan keperluan pelaksanaan e-invois bagi syarikat melebihi angka tersebut.
“Bagaimana keadaannya selepas RM1 juta, itu baru dikaji lebih mendalam, implikasi kosnya.
“Jadi sekurang-kurangnya kita dengar, kita laksanakan segera yang boleh disegerakan iaitu naik daripada had RM500 ribu kepada RM1 juta,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan tidak dapat mengumumkan perkara itu semasa tempoh kempen pilihan raya kerana terikat dengan peraturan, namun kajian semula telah dibuat dalam tempoh singkat sebelum keputusan dimuktamadkan.
“Sebab itu saya tak boleh umum masa kempen, kerana itu bertentangan dengan peraturan.
“Saya hanya boleh menyebut kita telah mengarahkan supaya Kementerian Kewangan mengkaji semula,” ujarnya.





