PILIHAN Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah menutup tirai dengan satu realiti yang tidak boleh dipandang remeh: hampir separuh pengundi di negeri ini terdiri daripada golongan muda, tetapi ramai di antara mereka gagal menunaikan tanggungjawab paling asas dalam sistem demokrasi, iaitu keluar mengundi. Fenomena ini bukan sekadar persoalan tentang kehadiran di pusat mengundi, tetapi melambangkan keengganan mengambil bahagian dalam menentukan masa depan Sabah dan negara.
Langkah penting telah diambil di peringkat nasional untuk mengiktiraf peranan generasi muda dalam pembinaan negara bangsa. Pindaan umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun dan pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik yang diwartakan memberi kuasa besar kepada golongan muda. Ia bukan sekadar hak, tetapi pengiktirafan bahawa anak muda merupakan pemacu masa depan negara.
Data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa hampir 40 peratus daripada keseluruhan pengundi Sabah adalah golongan muda. Dengan peratusan sebegini, secara teori, generasi muda mempunyai kuasa yang besar untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya, khususnya di kerusi marginal. Namun realitinya, peratusan keluar mengundi dalam kalangan mereka kekal rendah.
Mengapa golongan yang diberikan hak kenegaraan secara meluas, dengan akses maklumat tanpa batasan, masih belum menterjemahkan kelebihan tersebut di peti undi? Jawapannya berlapis, melibatkan faktor struktural, psikologi, dan sosial yang semakin ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pertama, mobiliti tinggi golongan muda Sabah memberi kesan langsung terhadap ‘turnout’. Ramai anak muda bekerja atau menuntut di Semenanjung, Sarawak, malah luar negara seperti Singapura, menjadikan kos dan masa untuk pulang mengundi terlalu tinggi. Tanpa sokongan logistik, peluang mereka memberi impak melalui undi hilang begitu sahaja.
Kedua, keletihan politik membentuk sikap “undi saya tidak mengubah apa-apa”. Pertukaran kerajaan yang kerap, konflik politik dalaman, dan janji-janji yang tidak ditepati mengakibatkan generasi muda bosan dengan retorik kosong. Di mata mereka, politik seolah jauh dari kehidupan harian.
Ketiga, isu sosioekonomi harian lebih dekat dengan kehidupan generasi muda berbanding debat politik abstrak. Gaji permulaan yang rendah, peluang pekerjaan terhad, kos sara hidup meningkat, capaian internet perlahan, dan pembangunan infrastruktur yang tidak memadai menjadikan mereka lebih fokus kepada survival dan pembangunan diri. Naratif politik yang bersifat nasional gagal menarik minat golongan ini.
Keempat, kekurangan pendidikan pengundi yang berkesan turut menyumbang kepada ‘turnout’ rendah. Kurangnya usaha sistematik daripada SPR dan parti politik untuk mendidik pengundi muda melalui media sosial, bahasa mudah, video ringkas, infografik, simulasi proses mengundi, dan bahan penerangan dalam bahasa tempatan, menyebabkan politik dilihat ‘asing’ dan jauh daripada kehidupan mereka.
Kelima, kurangnya figura kepimpinan yang mampu menarik minat generasi muda turut melemahkan motivasi mereka untuk bertindak. Banyak calon DUN tidak dikenali di kalangan anak muda kerana kempen lebih tertumpu kepada naratif nasional atau kepimpinan tertinggi parti.
Keenam, anak muda semakin menjauh daripada proses pengundian kerana mereka tidak melihat calon yang benar-benar dekat dengan realiti hidup mereka. Ramai calon yang diketengahkan masih wajah lama, tidak dikenali, kurang rekod prestasi yang meyakinkan, dan gagal menunjukkan komitmen terhadap isu yang dekat di hati generasi muda seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan serta masa depan ekonomi. Keadaan ini menimbulkan persepsi bahawa pilihan raya sekadar mengitar semula individu yang sama, tanpa menawarkan perubahan yang bermakna. Akibatnya, anak muda merasakan undi mereka tidak membawa impak, lalu memilih untuk tidak keluar mengundi.
Dalam konteks ini, kesedaran tanggungjawab kenegaraan sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 amat penting. Anak muda perlu sedar bahawa hak mengundi bukan sekadar hak, tetapi tanggungjawab moral untuk memastikan suara mereka didengar dan masa depan negara dibentuk oleh generasi yang sedar akan kuasanya. Dengan kesedaran ini, mereka bukan hanya pewaris, tetapi pembina negara yang mampu membentuk Sabah dan Malaysia lebih progresif.
Peranan SPR dan jentera parti menjadi sangat penting. SPR perlu memperkasa pendidikan pengundi secara lebih agresif, khususnya melalui kempen digital yang mudah difahami. Video ringkas, infografik, simulasi proses mengundi, dan program kesedaran di sekolah, IPT serta komuniti tempatan perlu diperluas. Program ‘micro-targeting’ untuk belia bandar dan luar bandar, pengangkutan ke pusat mengundi, dan koordinasi pengundi luar daerah perlu dirancang rapi.
Paling penting, naratif politik untuk generasi muda mesti relevan dengan kehidupan mereka. Isu pekerjaan, pendidikan, ekonomi digital, pembangunan luar bandar, kestabilan sosial dan masa depan Sabah perlu disentuh secara nyata. Belia perlu diyakinkan bahawa undi mereka bukan sekadar simbol; ia adalah instrumen perubahan. Setiap kertas undi mampu membentuk kerajaan, mempengaruhi dasar, dan menentukan hala tuju negeri.
Kepada generasi muda, masa depan tanah air berada di tangan anda. Kuasa besar yang diberikan melalui hak mengundi hanya bermakna apabila diterjemahkan melalui tindakan nyata. PRN17 Sabah menegaskan satu kenyataan jelas: bilangan pengundi muda mungkin besar, tetapi kuasa sebenar wujud apabila mereka bertindak. Pemuda bukan sekadar pewaris; mereka adalah penentu masa depan.
*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)





