
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bahawa tindakannya memanggil peguam Albert Tei dalam siasatan kes rasuah tidak melanggar undang-undang, sekaligus menafikan dakwaan Majlis Peguam Malaysia mengenai pelanggaran keistimewaan peguam-anak guam (solicitor-client privilege).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tindakan itu dilakukan mengikut Seksyen 30(1) dan 30(2) Akta SPRM 2009. Beliau menegaskan peruntukan undang-undang memberi kuasa jelas kepada SPRM untuk memerintahkan mana-mana individu hadir dan mengemukakan dokumen yang diperlukan bagi membantu siasatan.
“Undang-undang tidak memberikan pengecualian kepada peguam atau mana-mana profesyen dan Seksyen 46 Akta SPRM 2009 berhubung kerahsiaan komunikasi guaman-anak guam (solicitor-client privilege) tidak pernah diketepikan.
“SPRM tidak meminta atau menuntut maklumat yang termasuk dalam nasihat sulit antara peguam dan anak guam. Apa yang diminta ialah bahan bukti dan maklumat yang berada dalam ‘possession’ beliau sebagai individu yang mempunyai maklumat penting berkaitan siasatan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Majlis Peguam Malaysia sebelum ini mengecam tindakan SPRM memanggil peguam yang mewakili individu sedang dalam siasatan, disifatkan sebagai menjejaskan integriti keistimewaan profesional undang-undang.
Kenyataan Majlis Peguam Malaysia itu merujuk kepada tindakan SPRM memanggil Mahajoth Singh, peguam kepada ahli perniagaan Albert Tei yang disiasat berhubung kes rasuah.
Majlis Peguam Malaysia dilaporkan berkata, tindakan SPRM itu amat membimbangkan kerana ia dilihat memberi isyarat berlaku pencerobohan terhadap hak-hak penting kepada pelaksanaan keadilan. Justeru, Majlis Peguam mengutuk sekeras-kerasnya tindakan berkenaan yang didakwa melanggar peruntukan Seksyen 46 Akta SPRM 2009.
Mengulas lanjut, Azam berkata, prinsip undang-undang adalah jelas dan ‘keistimewaan’ tidak melindungi seseorang daripada kewajipan hadir apabila dipanggil oleh penguat kuasa dan ia juga tidak melindungi dokumen atau barang kes yang bukan sebahagian daripada nasihat guaman.
“Dalam kes ini, SPRM bertindak mengikut prosedur yang sah. Peguam hanya diminta hadir seperti mana-mana saksi lain. Ini bukan pendakwaan ke atas beliau dan tidak menjejaskan kedudukan beliau sebagai peguam bagi mana-mana pihak.
“Oleh itu, adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa SPRM melanggar Seksyen 46 Akta SPRM 2009,” katanya.





