
DALAM satu tulisannya, Mohd Sayuti Omar (MSO) memaparkan gambar anak sulung Perdana Menteri Kesepuluh (PMX) – Nurul Izzah – menaiki Myvi meninggalkan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Kebetulan beliau mengenali orang yang rapat dengan Nurul Izzah dan keesokannya hal itu ditanyakan kepadanya.
Daripada sumber itu diketahui bahawa Myvi itu sebenarnya kenderaan perkhidmatan Grab.
Dilanjutkan keterangan oleh orang itu bahawa rupa-rupanya kenderaan Nurul Izzah rosak sehari dua sebelum itu.
Kerana tidak mahu urusannya sukar, Nurul Izzah hadir ke program di PICC dengan menggunakan perkhidmatan Grab.
Lihatlah betapa “berjiwa rakyatnya” anak seorang Perdana Menteri sanggup naik Grab sedangkan dia boleh sahaja minta pertolongan rakan atau menyewa kenderaan mewah sepanjang menunggu kenderaan dibaiki.
Faktanya di sini, anak Perdana Menteri amat menjaga hal “pembaziran”, tidak kisah berhadapan dengan kesulitan hidup, dan mengelakkan diri menyusahkan pihak lain.
Malangnya, dalam keadaan begitupun pelbagai tohmahan dilakukan oleh pembangkang kepada Nurul Izzah walaupun ketika itu beliau berkhidmat untuk negara secara “probono” seperti bapanya.
Sifat selesa dengan cara hidup sederhana serta berjiwa marhaen itu menurut MSO turut ada pada diri menantu PMX.
Dalam pertemuan yang tidak dirancang, didapati bahawa lelaki hanya menggunakan kenderaan Honda City lama.
Bagi MSO, semua ini meyakinkannya bahawa keinginan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) menjadi Perdana Menteri bukan kerana memburu harta; bukan juga gila kuasa untuk membolehkan anak-beranaknya kaya raya.
DSAI sebaliknya sanggup tidak bergaji demi membela nasib rakyat termiskin dan memastikan harta negara diurus dengan berhemat.
Pandangan MSO itu sebenarnya tepat dan itu yang sepatutnya juga difahami oleh pihak yang selama ini membenci DSAI.
Kita sepatutnya mengecam pihak yang selalu menghina DSAI terutama ketika ini dalam keadaan beliau berusaha memperbetul langkah negara menjadi negara maju umpamanya setanding Jepun dan Korea Selatan.
Jadi, fahamilah bahawa di sebalik mahu menjadikan Malaysia menjadi “Harimau Ekonomi Asia”, DSAI membentuk keluarganya hidup bersederhana.
Mudah-mudahan, atas semangat kemerdekaan negara, hakikat tadi dapat kita hadam.




