
ISU Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selalu menjadi topik panas yang diperdebatkan. Bukan hanya di Dewan Rakyat, bahkan ianya diulas hingga ke kedai-kedai kopi. Menunjukkan betapa isu ini teramat dekat dengan rakyat Sabah.
Ini bukan isu baharu, isu ini adalah krisis panjang yang menyentuh soal perundangan dan Perlembangaan itu sendiri walaupun Kerajaan Persekutuan bertukar ganti.
Akibatnya, ramai rakyat Sabah sudah menjadi skeptikal terhadap isu ini. Mereka tidak lagi hanya mendengar ucapan semata-mata.
Mereka menunggu hasil dan tindakan.
Maka, apabila Kerajaan MADANI mengumumkan kenaikan Pemberian Khas Interim Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion, Sabahan wajar melihat ini sebagai komitmen luar biasa Kerajaan Persekutuan MADANI terhadap hak Sabah.
Dalam tempoh lebih kurang 3 tahun sahaja, jumlah tersebut meningkat sepuluh kali ganda. Permulaanya hanya RM150 juta kini mencecah RM1.5 bilion.
Malah, jika dilihat, peningkatan RM900 juta (RM600 juta ke RM1.5 bilion) hanya dalam satu pengumuman oleh PMX merupakan lonjakan terbesar yang pernah direkodkan dalam isu berkaitan hak kewangan Sabah.
Apa yang menjadikan perkembangan ini signifikan? Selama ini, isu 40 peratus hasil Sabah bergerak perlahan, tetapi di bawah Kerajaan MADANI menunjukkan situasi kerja yang berbeza.
Walaupun nilai akhir bayaran masih belum dimuktamadkan, Kerajaan MADANI memilih untuk terus meningkatkan bayaran interim sementara rundingan diteruskan.
Apa yang cuba Datuk Seri Anwar Ibrahim sampaikan? Beliau seolah-olah memberi mesej:
“Kerajaan Persekutuan masih berunding mengenai jumlah akhir, tetapi tidak mahu proses tersebut menjadi alasan untuk menangguhkan manfaat kepada rakyat Sabah”.
Ada pihak yang kritik? Itu wajar, itulah politik.
Mereka mengatakan bahawa RM1.5 bilion masih belum menyamai nilai sebenar tuntutan 40 peratus hasil Sabah. Memang pun. Sebab ini hanya Pemberian Khas Interim Sabah, bukan nilai muktamad MA63. Sila fahami.
Tetapi, jangan nafikan bahawa tidak pernah berlaku peningkatan yang begitu konsisten daripada RM150 juta kepada RM300 juta, kemudian RM600 juta dan akhirnya RM1.5 bilion.
Atas sebab itu, wajib diakui bahawa Kerajaan MADANI telah menunjukkan tahap komitmen yang jauh lebih tinggi berbanding mana-mana kerajaan sebelumnya dalam memenuhi tuntutan hak Sabah berkaitan MA63.
Kita boleh berhujah, namun angka adalah fakta. Akhirnya Sabahan juga yang menuai manfaatnya.
Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan Sabahan.
*Suwadi Guliling ialah Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)





