PUTRAJAYA – Pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) akan diberi peluang menjalani latihan awal di pusat dan badan penyelidikan kerajaan di seluruh negara mulai bulan depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pogram berkenaan sebagai usaha memperkasa pembangunan tenaga kerja mahir dalam bidang teknologi masa hadapan.
Menurut beliau, langkah itu juga membolehkan lebih ramai pelajar TVET memperoleh pendedahan langsung dalam bidang berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), kriptologi dan peralihan tenaga yang semakin menjadi keutamaan industri.
Pelaksanaan inisiatif tersebut akan diselaraskan oleh Ketua Setiausaha Negara menerusi kerjasama dengan pelbagai institusi penyelidikan kerajaan yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.
“Maka saya mahu pastikan dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) menyelaraskan supaya semua badan latihan penyelidikan kerajaan diwajibkan memberi peluang latihan awal antara 50 hingga 100 orang di setiap TVET yang terpilih.
“Pelajar terpilih bakal menguasai bidang-bidang yang benar-benar baharu. Seperti AI, kriptologi, peralihan tenaga.mereka akan ditempatkan sama ada di MARDI atau di Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM) atau mana-mana badan penyelidikan yang sekarang di bawah, diselaraskan Majlis Sains Negara,” katanya.
Beliau berkata, demikian ketika merasmikan Sambutan Hari TVET Negara 2026 di Dataran Putrajaya, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, serta Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar berkata, program berkenaan dijangka membuka ruang kepada pelajar TVET untuk memperoleh kemahiran khusus yang masih belum ditawarkan secara meluas dalam sistem pendidikan sedia ada.
Beliau turut berpandangan bahawa lulusan TVET yang menguasai bidang strategik dan berimpak tinggi berpotensi menikmati peluang kerjaya serta kadar gaji yang lebih kompetitif.
“Ini bagi saya suatu ikhtiar tambahan, kerana saya lihat umpamanya ada bidang-bidang pengkhususan penyelidikan yang telah mencatat satu prestasi luar biasa.
“Peruntukan dari kerajaan juga tinggi tetapi seperti saudara sedia maklum, mereka masih juga terikat dari program pendedahan, latihan dan dalam rangka kerja mereka tak termasuk latihan.
“Jadi saya tambah sekarang dan mungkin dalam masa minggu depan KSN akan panggil semua badan-badan penyelidikan ini dan menetapkan mereka harus ambil dari setiap TVET, beberapa orang yang terpilih untuk diberikan kursus tambahan supaya ada kemahiran dan kepakaran yang belum diperolehi dalam sistem pendidikan awam hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, keperluan industri kini berkembang lebih pantas berbanding keupayaan sistem pendidikan tradisional untuk menyesuaikan kandungan latihan dengan teknologi terkini.
Menurutnya, syarikat teknologi global masih memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran tambahan walaupun graduan tempatan memiliki asas akademik yang baik dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.
“Bila kita tanya syarikat-syarikat utama; NVIDIA, Infineon, AWS dah ada bidang IT dan juga beberapa bidang kripto, tahap latihan itu tidak sampai ke standard yang diperlukan.
“Umpamanya, Infineon dengan USM rapat hubungannya, tetapi ternyata lulusan kejuruteraan kita masih perlu pendedahan beberapa disiplin kemahiran tambahan dan ini boleh dipenuhi oleh syarikat.
“Sinergi ini sedang berjalan tapi saya kata mengapa tidak boleh badan penyelidikan kita yang ratusan itu juga memberikan pendedahan selain daripada apa yang mereka lakukan untuk universiti, ini satu program khusus untuk TVET,” katanya.
Beliau berkata penglibatan lebih aktif pusat penyelidikan kerajaan dalam latihan TVET diyakini dapat merapatkan jurang antara pendidikan dan keperluan industri, sekali gus melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu menyokong agenda transformasi ekonomi negara.





