Hargai Rosli Dhobi, pejuang kemerdekaan Sarawak

[ULASAN] Kemerdekaan negara mungkin tidak akan dapat dikecapi pada hari ini tanpa pengorbanan pejuang merdeka.

Rosli Dhobi, antara tokoh pejuang kemerdekaan yang perlu kita hargai dan ingati jasa mereka.

Beliau merupakan pejuang berbangsa Melayu Sarawak – ayahnya berketurunan dari Palembang, manakala ibunya berketurunan Melanau.

Namanya mula menjadi bualan umum selain menggegarkan ‘kubu’ British setelah berjaya membunuh Gabenor Sarawak Sir Duncan George Stewart ketika berusia 16 tahun.

Perjuangan Rosli Dhobi dan rakan-rakannya dalam Rukun 13 bermula apabila keluarga Brooke mahu menyerahkan Sarawak kepada Inggeris selepas Perang Dunia Kedua Tamat pada 1941.

Punca penyerahan Sarawak kepada Inggeris adalah keluarga Brooke tidak mampu membangunkan semula Sarawak akibat peperangan.

Rajah Sarawak ketika itu, Sir Charles Vyner Brooke berpendapat hanya Inggeris mampu membangunkan semula Sarawak.

Disebabkan itu, timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat tempatan padahal Brooke sudah berjanji untuk memulangkan Sarawak kepada rakyat tempatan.

Semangat anti-penyerahan Sarawak 1946

Rakyat tempatan mula marah dan tertubuhnya Gerakan Pemuda Melayu Sarawak (GPMS).

Pada 1946, gerakan anti-penyerahan Sarawak 1946 mula merebak ke seluruh Sarawak disebabkan rakyat Sarawak tidak mahu negeri mereka berstatus kolonial.

Semangat anti penyerahan Sarawak 1946 dikatakan mampu menggugat pihak Inggeris sehingga terpaksa mengeluarkan pekeliling kepada penjawat awam untuk tidak berpiket.

Demonstrasi semakin kuat apabila ramai penjawat awam meletak jawatan pada 1947 kerana tidak mahu bersengkongkol dengan penjajah.

Pada 1 Julai 1947, demonstrasi dan protes rakyat Sarawak makin hebat apabila Gabenor British Sarawak Pertama Sir Charles Arden-Clarke telah dilantik.

Pihak Inggeris sedar kesatuan rakyat Sarawak disebabkan perpaduan antara Melayu dengan Dayak sangat kuat.

Seperti sedia maklum, Inggeris memang terkenal dengan dasar pecah dan perintah.

Maka, Inggeris menggunakan strategi tersebut untuk menggugat perpaduan rakyat Sarawak.

Pada Disember 1947, keadaan semakin reda apabila Inggeris berjaya menggunakan perang saraf untuk melemahkan perjuangan rakyat Sarawak untuk merdeka.

Disebabkan kegagalan tersebut, maka 13 anggota Gerakan Pemuda Melayu Sarawak membentuk Rukun 13.

Rukun 13 merupakan gerakan rahsia ditubuhkan oleh golongan nasionalis Melayu Sarawak yang mahukan tanah air bebas daripada penjajahan Inggeris.

Rosli pada ketika itu masih pelajar terpanggil untuk menyertai perjuangan Rukun 13 selepas beliau melihat penderitaan rakyat Sarawak di bawah kolonial.

Beliau diperkenalkan oleh Awang Rambli untuk menyertai Rukun 13 untuk berjuang demi kebebasan tanah air.

Misi berani mati

Pada ketika itu, Rukun 13 merancang misi berani mati untuk membunuh Gabenor British Sarawak kedua, Sir Duncan Stewart.

Ketika lawatan Stewart di Sibu pada 3 Disember 1948, beliau sempat beramah-mesra dengan sekumpulan pelajar.

Morshidi yang juga salah seorang ahli Rukun 13 memberi isyarat kepada Rosli untuk menyerbu dan menikam Stewart dengan badik.

Stewart dikatakan mengalami kecederaan parah selepas ditikam oleh Rosli dan meninggal beberapa hari kemudian.

Selepas serangan tersebut, Rosli dan beberapa rakan yang terlibat ditangkap dan dibawa ke Kuching untuk dibicarakan.

Kalau diikutkan usia, Rosli tidak sepatutnya dihukum mati kerana usianya terlalu muda.

Namun, hakim kolonial mengetepikan prinsip keadilan lalu menjatuhkan hukuman gantung ke atas Rosli, Awang Ramli, Morshidi Sidek dan Bujang Suntong pada 4 Disember 1949.

Pada 2 Mac 1950, Rosli, Awang Ramli, Morshidi Sidek dan Bujang Suntong menjalani hukuman gantung sampai mati.

Kerajaan Inggeris yang pengecut turut mengebumikan Rosli dan beberapa rakannya dengan kubur tidak bertanda di dalam kompleks penjara.

Namun, kesan daripada peristiwa tersebut, Inggeris sedar betapa seriusnya perjuangan rakyat Sarawak untuk merdeka.

Oleh itu, Sarawak diberi peluang membentuk kabinet kerajaan sendiri pada 22 Julai 1963 dengan dianggotai anak tempatan.

Tepat 16 September 1963, Sarawak diisytiharkan merdeka apabila bendera Union Jack diturunkan.

Bendera Jalur Gemilang dan Sarawak dikibarkan menandakan Sarawak bebas daripada penjajahan asing dan menyertai gagasan Malaysia.

Sebagai anak muda Sarawak, kita wajib menghayati perjuangan Rosli Dhobi dalam membebaskan tanah air.

Beliau sanggup menggadaikan nyawa demi kebebasan dan kemerdekaan yang kita nikmati hari ini.

Al-Fatihah kepada Allahyarham Rosli Dhobi dan pejuang kemerdekaan lain seperti Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Janggut dan Mat Salleh.

Tidak lupa juga kepada Bapa Kemerdekaan Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67, Dirgahayu Malaysia, Tanah Airku!

Related Posts

Malaysia tegas lindungi kepentingan rakyat dalam dunia tidak menentu

DALAM keadaan dunia yang semakin tidak stabil, langkah Malaysia melalui Petronas untuk berunding mendapatkan bekalan minyak dari Rusia membuktikan satu perkara penting: kepentingan rakyat sentiasa diutamakan melebihi tekanan geopolitik luar.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Perasmian MRSM Dungun perkukuh agenda STEM, lahir generasi Ulul Albab

DUNGUN – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Dungun di Kampung Bukit Pauh, sekali gus memperkukuh komitmen kerajaan dalam memperluas akses pendidikan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

SPRM tahan penjawat awam disyaki kemuka dokumen butiran palsu kira-kira RM1.3 juta

SPRM tahan penjawat awam disyaki kemuka dokumen butiran palsu kira-kira RM1.3 juta

Tujuh lelaki warga asing ditahan cuba ceroboh sempadan

Tujuh lelaki warga asing ditahan cuba ceroboh sempadan

Malaysia tegas lindungi kepentingan rakyat dalam dunia tidak menentu

Malaysia tegas lindungi kepentingan rakyat dalam dunia tidak menentu

Perasmian MRSM Dungun perkukuh agenda STEM, lahir generasi Ulul Albab

Perasmian MRSM Dungun perkukuh agenda STEM, lahir generasi Ulul Albab

Ops Tiris 4.0: Pasukan petugas khas Sabah dan Labuan ditubuh bagi perkukuh penguatkuasaan

  • By Ynom
  • April 20, 2026
Ops Tiris 4.0: Pasukan petugas khas Sabah dan Labuan ditubuh bagi perkukuh penguatkuasaan

JPJ Melaka sita 5 kenderaan mewah nilai RM2.2 juta

JPJ Melaka sita 5 kenderaan mewah nilai RM2.2 juta