
TAWAU – “Kami merancang untuk buka buku ‘pink’ bersama-sama pada 1 September nanti.”
Demikian kata isteri mangsa anggota penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang meninggal dunia ketika melaksanakan operasi salvaj Kapal Diraja (KD) Pendekar di perairan Kota Tinggi Johor Bahru, Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa.
Ketika dihubungi pada Khamis, Norazliana Bakri, 25, secara ringkas berkata, hasrat membuka Rekod Kesihatan Ibu (buku ibu mengandung) itu dinyatakan suaminya selepas mengetahui berita gembira dirinya mengandung anak kedua.
“Saya belum buka buku lagi. Belum dapat jangkaan sebab suami cakap mahu buka buku sama-sama pada 1 September tapi tidak kesampaian,” katanya.
Ibu kepada seorang anak lelaki berumur setahun tiga bulan itu juga dilihat berkongsi di media sosial Facebook tentang pemergian suaminya dengan kapsyen yang meruntun jiwa.
“Untuk yang bertanya kenapa suami saya, Arman San telah pergi meninggalkan saya dan anak selama-lamanya. Ya Allah ampunilah dia, berilah rahmat, sejahtera dan maafkanlah dia dan jadikanlah syurga sebagai tempat pengistirehatannya. Aq (aku) redha.
“Berapa hari ini dia risau saya dan anak di rumah sendiri, kata suami saya sibuk smpai sebulan ini, kiranya dalam masa terdekat ini balik Sabah, tahu-tahu kita balik sama-sama abang,” tulisnya.

Menurut Norazliana, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kediaman suaminya di Kampung Sepagaya, Lahad Datu untuk dikebumikan.
Terdahulu media melaporkan, seorang anggota penyelam TLDM maut dalam operasi salvaj KD Pendekar yang tenggelam di perairan Tanjung Penyusop selepas mengalami kebocoran dipercayai akibat terlanggar objek bawah air pada 25 Ogos lalu.




