KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei, menyatakan kesediaan untuk menyertai sesi debat terbuka bersama Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali, berhubung isu sekatan kandungan dan akaun di platform media sosial yang menjadi perhatian pelbagai pihak sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, debat tersebut merupakan platform terbaik untuk menjelaskan fakta dan menjawab pelbagai dakwaan yang timbul berkaitan peranan kerajaan dalam isu berkenaan.
“Saya menerima cabaran itu. Saya ingin tahu di mana tempatnya, siapa hos, pukul berapa dan tarikhnya. Saya bersedia. Saya akan berjumpa beliau minggu depan,” katanya pada sidang media selepas Himpunan Gegar TikTok di hadapan ibu pejabat TikTok Malaysia di Sunway Velocity V2 Tower, hari ini.
Albert berkata, pertemuan secara terbuka itu penting bagi memberi peluang kepada masyarakat menilai sendiri hujah dan penjelasan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak berhubung isu yang diperdebatkan.
Sebelum ini, Mohd Hisyamuddin dilaporkan membuat laporan polis terhadap Albert susulan beberapa dakwaan yang didakwa menjejaskan ketenteraman awam serta mengaitkan Kementerian Komunikasi dengan tuduhan yang disifatkan tidak berasas.
Laporan berkenaan dikemukakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya dengan permintaan agar siasatan dijalankan dan tindakan sewajarnya diambil mengikut peruntukan undang-undang.
Mohd Hisyamuddin turut menegaskan bahawa tindakan hadir ke premis kerajaan bagi mencetuskan provokasi, mengganggu urusan rasmi dan menimbulkan keresahan dalam kalangan penjawat awam merupakan perkara serius yang tidak boleh dipandang ringan.
Dalam perkembangan berkaitan, tawaran untuk mengadakan debat terbuka itu dikemukakan oleh Mohd Hisyamuddin ketika sidang media selepas beliau membuat laporan polis berkenaan pada Khamis lalu.
Cadangan tersebut dibuat susulan tindakan Albert yang hadir bersama beberapa individu ke lokasi sidang media dan mengemukakan beberapa persoalan berkaitan laporan polis yang dibuat terhadapnya, termasuk mengenai dakwaan gangguan yang disebut dalam laporan berkenaan.
Susulan itu, kedua-dua pihak dijangka bertemu dalam satu sesi debat yang bakal menjadi tumpuan ramai bagi membincangkan isu sekatan kandungan media sosial serta dakwaan campur tangan kerajaan yang dibangkitkan sebelum ini.
Foto: Harian Metro





