
KUALA PILAH – Pengendali platform media sosial disaran mempertingkat keupayaan pemantauan dan mempercepatkan tindakan terhadap penyebaran kandungan palsu yang berkaitan dengan pilihan raya bagi memastikan persekitaran maklumat yang lebih bertanggungjawab menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) telah mewujudkan cabaran baharu apabila kandungan tidak sahih dapat dihasilkan dengan lebih mudah, termasuk bahan yang menggunakan identiti serta logo organisasi media tempatan bagi mengelirukan masyarakat.
Menurutnya, kebimbangan tersebut turut dikongsi oleh Majlis Media Malaysia (MMM) yang melihat peningkatan penyebaran maklumat palsu sebagai ancaman kepada integriti maklumat awam, khususnya ketika tempoh pilihan raya.
“Saya ada satu perbincangan dengan pihak Majlis Media Malaysia baru-baru ini dan mereka menyatakan kegusaran tentang perkara sama, iaitu penyebaran berita palsu serta penyalahgunaan logo media tempatan untuk menghasilkan grafik palsu.
“Saya sedia memberikan kerjasama kepada pihak Majlis Media Malaysia serta rakan-rakan media untuk memastikan kurang ataupun tidak ada penyebaran berita palsu di media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau pelaksanaan Program AI@NADI di NADI Seri Menanti, Kampung Terachi, di sini hari ini.
Fahmi menjelaskan bahawa beberapa platform media sosial telah menyediakan mekanisme khas untuk melaporkan kandungan palsu berkaitan pilihan raya.
Namun, beliau berpendapat usaha itu perlu diperkukuh melalui penyelarasan yang lebih berkesan antara syarikat pengendali platform, organisasi media dan pihak berkuasa berkaitan.
“Sering kali penyebaran berita palsu ini sepatutnya pihak platform media sosial sendiri yang segera mengambil tindakan.
“Saya harap MMM boleh mengadakan pertemuan dengan platform-platform media sosial untuk menyelaraskan tindakan,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama strategik antara semua pihak berkepentingan penting bagi membendung penularan maklumat palsu yang berpotensi menjejaskan kefahaman rakyat terhadap proses demokrasi dan perjalanan pilihan raya.
Tambah beliau, perkembangan lanjut mengenai usaha memperkukuh kerjasama tersebut dijangka diumumkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang akan berlangsung minggu hadapan.




