
TENOM – Sebelum kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) melabuhkan tirai, calon PH bagi DUN Kemabong, Noorita Sual tampil membawa tawaran pembangunan yang dilihat mampu mengubah landskap daerah itu.
Menurutnya, sambutan masyarakat saban hari semakin meningkat, menandakan hasrat rakyat untuk melihat perubahan dalam kepimpinan selepas lebih 30 tahun di bawah mandat yang sama.
“Isu utama yang dihadapi adalah sebenarnya pemimpin yang ada sekarang adalah sudah diberi mandat terlalu lama, sudah 30 tahun.
“Mereka ingin melihat suatu perubahan kepimpinan memandangkan dari segi pembangunan Kemabong agak ketinggalan. Kita tidak nafikan jasa daripada Yang Berhormat yang lalu.
“Belia terutamanya di kawasan Kemabong, mereka ingin satu perubahan yang lebih rancak di kawasan Kemabong,” kata kepada media ketika ditemui, di sini pada Rabu.
Mengulas visi dan tawaran beliau jika diberi mandat, Noorita menekankan keperluan menjadikan Kemabong sebagai daerah penuh, menggantikan statusnya kini sebagai daerah kecil.
Beliau berkata, potensi Kemabong cukup besar, termasuk kewujudan projek hidroelektrik bernilai RM19 bilion yang dijangka merancakkan lagi momentum ekonomi setempat.
“Di Kemabong ini sebenarnya kita ada projek yang hidroelektrik yang menelan belanja RM19 bilion.
“Akan datang ini saya melihat bahawa ada keperluan untuk menjadikan Kemabong ini sebuah daerah penuh. Masyarakat di daerah Tenom pun sebenarnya ingin melihat adanya kemudahan keselamatan seperti balai polis dan juga bomba,” katanya.
Dengan adanya kemudahan keselamatan tersebut, Noorita yakin ia akan membuka ruang kepada pembangunan lebih besar, termasuk peluang untuk membawa perkhidmatan bank ke Kemabong.
“Hari ini, penduduk terpaksa memandu 40 minit ke pekan Tenom semata-mata untuk keluarkan bantuan. Di Kemabong, hanya ada mesin ATM. Tidak ada bangunan bank tapi bila ada keselamatan, barulah bank berani buka cawangan,” katanya.
Untuk golongan belia pula, Noorita berjanji untuk menaik taraf padang sukan sedia ada yang kini dianggap terbiar dan tidak dijaga.
Beliau menyifatkan belia Kemabong sebagai kumpulan yang sangat aktif dalam sukan, memandangkan kawasan itu tidak mempunyai pusat hiburan seperti pawagam atau pusat beli-belah.
“Belia Kemabong memang suka bersukan. Sebab itu kita mahu bina satu mini kompleks sukan supaya mereka ada ruang yang baik, selesa dan terurus. Ini bukan sahaja untuk rekreasi, tetapi juga galakan ke arah gaya hidup sihat dan program pembangunan belia,” katanya.
Noorita turut meluahkan rasa terharu apabila kawasan-kawasan yang dahulu sukar dimasuki kini membuka pintu untuk beliau.
“Bagi saya, penerimaan pengundi di Kemabong sangat memberangsangkan. Kalau dulu semasa saya jadi calon parlimen, ada PDM-PDM yang saya tak dapat masuk. Tapi sekarang penerimaan mereka, mereka yang panggil saya untuk masuk ke PDM mereka.
“Dan buat ceramah, terangkan kepada masyarakat di kampung mereka tentang apa yang saya ingin buat untuk daerah Kemabong,” ujarnya.



