
TUARAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen bahawa kerajaan di bawah pimpinannya lebih menumpukan penyelesaian masalah rakyat berbanding mengulangi janji politik seperti yang berlaku sebelum ini.
Menurut Anwar, terlalu banyak isu asas di Sabah telah tertangguh sejak sekian lama, namun langkah penyelesaian hanya dapat dilaksanakan selepas kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran Persekutuan.
“Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya bertanggungjawab beritahu orang Sabah, mahu pilih pimpinan… mesti tengok rekod kerjanya.
“Siapa kata tidak ada masalah di Selangor atau negeri lain di Malaysia?
“Ada masalah. Kerja kita sekarang ialah selesaikan.
“Dulu berapa ramai buat manifesto, tetapi belum jalan. Yang kerajaan sekarang, kita luluskan,” katanya semasa berucap di Program Temu Rapat dengan Pimpinan Masyarakat Tempatan dan Sahabat Usahawan Tuaran di sini, pada Khamis.

Anwar turut menjelaskan bahawa isu-isu besar yang diwarisi puluhan tahun akhirnya bergerak apabila Kerajaan Negeri dan Persekutuan mempunyai hubungan yang baik serta saling memahami keperluan rakyat.
Beliau memberi contoh pelaksanaan tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk pemulangan kuasa Sabah Electricity Board (SESB) kepada negeri yang menurutnya tidak pernah diselesaikan oleh kerajaan-kerajaan terdahulu.
“Berapa puluh tahun, berapa ramai Ketua Menteri?
“Ini kali pertama Kerajaan Negeri minta dipulangkan kuasa negeri dan Persekutuan saya setuju. Kita lulus,” katanya.
Tambah Anwar, permintaan tambahan dana RM1.2 bilion oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor turut dipertimbangkan dan diluluskan Kerajaan Persekutuan selepas mengambil kira keperluan sebenar rakyat di peringkat akar umbi.
“Dia kata Sabah kurang dana. Saya ingat RM100 juta, tapi dia kata RM1.2 bilion lagi.
“Untuk apa? Kerana banyak tempat tiada air, elektrik dan jalan. Kita kena tolong.
“Kalau bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, kita selesaikan once and for all,” katanya.
Beliau berkata rekod penyampaian kerajaan kini jauh lebih penting berbanding retorik politik, apatah lagi apabila terdapat pihak yang menurutnya lebih gemar menyerang kerajaan berbanding mengingatkan kembali kegagalan sendiri semasa berkuasa.
“Masa mereka berkuasa, apa yang mereka buat?
“Jangan sekarang baru kecam sini sana. Kita kerja sekarang, bukan cakap besar,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa hubungan mesra dengan kerajaan negeri memainkan peranan besar dalam mempercepatkan penyaluran projek dan pelaksanaan keputusan yang telah dipersetujui.
“Kerajaan ini kerjasama baik dengan kita. Walaupun dia parti lain, kerjasama begitu baik.
“Senang kita uruskan dan kita laksanakan MA63,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan tidak mahu terperangkap dalam politik yang hanya menyerang atau menimbulkan keraguan, sebaliknya mahu memastikan setiap keputusan besar benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat.
“Saya mahu rakyat Sabah nilai. Kita kerja untuk selesaikan masalah, bukan menambah beban,” katanya.
Anwar menyeru rakyat Sabah agar menilai rekod pentadbiran secara objektif dan tidak terpengaruh dengan dakwaan yang tidak selari dengan fakta.






