
SANDAKAN – Komitmen kerajaan Persekutuan terhadap Sabah bukan hanya berkisar pada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), malah merangkumi pembangunan pendidikan dan infrastruktur asas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan MADANI diterajui Pakatan Harapan (PH) adalah antara kerajaan paling banyak menyalurkan bantuan kepada Sabah.
Menurutnya, Sabah menerima peruntukan pembinaan sekolah baharu paling banyak sepanjang tiga tahun kerajaan sekarang memerintah, selain peruntukan tambahan untuk menaik taraf kemudahan pendidikan yang uzur.
“Sekolah teruk, jalan berlubang. Ini semua kita tangani. Paling banyak sekolah baru semasa kita perintah. Ibu bapa yang ada anak, tolong ingat ini.
“Nak marah sikit okey. Nak tegur sikit tak apa. Saya tak marah. Saya faham. Kadang-kadang orang susah saya faham tapi jangan kata kita (kerajaan) tak tolong.
“Ini kerajaan Pakatan Harapan (PH), paling banyak tolong orang susah,” katanya dalam ucapan pada Program Ramah Mesra Bersama Belia Sandakan di gelanggang futsal Kampung Sim-Sim, pada Khamis.
Hadir sama, calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura, Vivian Wong Shir Yee dan Tang Szu Ching (Tanjung Papat).

Sementara itu, Anwar menegaskan kerajaan pimpinannya komited melaksanakan pembayaran semula 40 peratus hasil bersih kepada Sabah seperti termaktub dalam MA63 dan menekankan bahawa isu berkenaan tidak lagi menjadi bahan retorik politik.
Beliau yang juga Pengerusi PH memaklumkan , hanya kerajaan Persekutuan di bawah PH yang memulakan rundingan serius dan langkah pelaksanaan terhadap tuntutan berkenaan.
“Kerajaan mengembalikan kuasa pengurusan elektrik kepada Sabah dan meluluskan tambahan dana besar bagi memastikan pembinaan infrastruktur tenaga berjalan lancar.
“Sabah minta elektrik. Kita bagi balik. Mereka kata tak cukup dana. Saya tanya berapa? RM1.2 bilion. Kita lulus. Kita bagi untuk memastikan Sabah cukup tenaga
“40 peratus ini bukan sekadar cakap. Dulu banyak pihak sebut, tapi masuk poket. Sekarang, saya Perdana Menteri. Kita janji, kita jalan untuk rakyat Sabah,” katanya.
Anwar turut mengingatkan rakyat Sabah mengenai kepentingan kestabilan politik di peringkat negeri dan Persekutuan, sambil menyatakan bahwa pembangunan hanya mampu dilaksana secara konsisten jika kerajaan kukuh dan bekerjasama erat.
“Kita perlukan kerajaan negeri yang stabil. Kita perlukan kerajaan Persekutuan yang stabil dan bertanggungjawab. Barulah semua rancangan berjalan,” katanya.




