
SIPITANG – Beberapa pengundi awal di daerah Sipitang berharap calon yang akan dipilih pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah kali ini memberi tumpuan kepada isu asas rakyat, khususnya berkaitan jalan raya, infrastruktur dan peluang pekerjaan.
Noel Solubin, 35, yang selesai mengundi di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sipitang berkata, calon yang dipilih perlu menunaikan tanggungjawab selepas pembentukan Kerajaan Negeri kelak.
“Harapan saya, calon yang kita pilih nanti dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab.
“Keperluan penduduk Sipitang perlu diberi perhatian, terutamanya jalan raya, infrastruktur dan kesihatan.
“Pembangunan domestik penduduk di kawasan DUN Sindumin wajar menjadi tumpuan kerajaan yang akan dibentuk nanti.
“Mohon semua yang menang nanti buat kerja sebaiknya. Itu harapan saya dan rakyat Sipitang,” katanya ketika ditemui Wartawan TMP selepas membuang undi awal di Bilik Mesyuarat Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah Sipitang, pada Selasa.
Bagi Abdul Yahya Jusidi, 30, yang baru setahun lebih menetap di Sipitang berkata kawasan ini masih ketinggalan dari segi pembangunan asas.
“Yang kritikal di sini ialah pembangunan rakyat dari segi infrastruktur.
“Kita kurang kemudahan asas berbanding bandar-bandar utama yang paling saya tekankan jalan raya,” jelasnya.
Beliau berkata, projek jalan raya Beaufort hingga ke Sipitang perlu disiapkan segera kerana itu menjadi laluan utama.
“Saya ulang-alik banyak kali antara Beaufort dan Sipitang masih ada jalan yang sikit-sikit tapi tidak tahu bila akan siap.
“Sarawak sudah maju hampir 100 peratus jalan mereka sudah siap. Kita pun mahu macam itu,” ujarnya.
Seorang lagi pengundi, Norliza Basrah, 40, berharap kemajuan Sipitang dapat dipertingkatkan secara konsisten.
“Harapan saya pembangunan di Sipitang bertambah maju dan cemerlang.
”Calon yang menang nanti harap tunaikan apa yang dijanjikan,” katanya.
Tambahnya, golongan belia di Sipitang memerlukan lebih banyak peluang pekerjaan.
“Harap kerajaan yang akan dibentuk nanti memberi manfaat kepada semua rakyat di daerah ini,” katanya lagi.








