KOTA KINABALU – Tindakan calon Pakatan Harapan (PH), Abdul Halim Sidek Gulam Hassan menarik diri bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam bertujuan meminimumkan pertembungan dan meningkatkan peluang menang kepada rakan sekutu Kerajaan Perpaduan dalam dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mengesahkan perkara itu memaklumkan, buat masa ini hanya kerusi itu yang membabitkan calon parti berkenaan yang mewakili Pakatan Harapan (PH) menarik diri.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada calon PH yang menarik diri meskipun sudah selesai proses penamaan calon.
“Sebagai orang yang mengetuai perundingan, saya sebutkan beberapa kali sebelum ini pada rakan-rakan media. Tugas saya adalah memuktamadkan perundingan kerusi, itu tercapai. Kedua, meminimumkan sebarang potensi pertembungan. Jadi bila ada pertembungan, kita cuba minimumkan.
“Walaupun setelah keputusan dibuat untuk dia menghantar kertas (pencalonan) tetapi akhirnya saya ucap terima kasih kepada calon berkenaan kerana kita telah melakukan perundingan dan beliau bersetuju.
“Beliau bersetuju dan itu bukti bahawa kami cuba meningkat peluang kemenangan, dengan bertanding seberapa banyak kerusi yang mungkin. Kita cuba usahakan sesuatu (pertembungan) di pihak kami,” katanya pada sidang bersama calon PH bagi DUN Api-Api, Thonny Chee, pada Isnin.

Terdahulu, calon PH DUN Silam, Abdul Halim Sidek Gulam Hassan menarik diri bertanding PRN Sabah dalam tempoh 48 jam selepas penamaan calon.
DUN Silam menyaksikan pertembungan antara sembilan calon termasuk dua parti Kerajaan Perpaduan, Barisan Nasional (BN) dan Gagasan Rakyat Sabah (GRS).
Selain Silam, terdapat empat DUN berdepan pertembungan antara tiga parti Kerajaan Perpaduan antara BN, PH dan GRS iaitu Karamunting, Kamabong, Moyog dan Bandau.
Sementara itu, menyentuh mengenai tarikh pengumuman manifesto gabungan itu, Saifuddin Nasution yang merupakan Ketua Setiausaha PH berkata, perkara berkenaan akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
Beliau turut menyeru jentera pilihan raya PKR dan PH di samping penyokong di Silam supaya kekal bertenang serta fokus sepanjang tempoh pilihan raya.
“PH masuk (bertanding dalam PRN Sabah) ini tak sampai satu pertiga daripada 73 (kerusi).
“Kalau manifesto kami, manifesto untuk menjadi regu strategik yang penting ke arah penubuhan kerajaan negeri. Jadi, itu akan kami muktamadkan kerana kempen baru 10 hari,” katanya.





