
KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan membuat permohonan maaf secara rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kekhilafan kata-kata ketika sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Rakyat pada 16 November lalu.
Beliau mengakui pemilihan kata dalam pantun yang dilafazkannya tidak sesuai dengan tanggungjawab beliau sebagai Anggota Pentadbiran kerajaan.
Jelasnya, pantun tersebut tidak terkandung dalam teks penggulungan asal, dan ia dilafazkan bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen mengenai isu pengurangan serta penghapusan tol.
“Walau bagaimanapun, saya bertanggungjawab sepenuhnya atas kata-kata tersebut dan perkataan ‘kencing’ dalam pantun berkenaan telah saya tarik balik di Parlimen,” katanya menerusi surat yang dicop terima oleh Pejabat Perdana Menteri pada Rabu dan turut diedarkan kepada media.
Ahmad turut menzahirkan komitmen dan sokongan penuh terhadap Kerajaan Perpaduan serta kepimpinan Perdana Menteri sehingga akhir penggal pentadbiran semasa.
“Saya tidak berniat menjejaskan atau memutuskan hubungan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh YAB Datuk Seri. Sokongan saya terhadap Kerajaan dan kepimpinan YAB Datuk Seri kekal sehingga akhir penggal pentadbiran semasa.
“Sebagai Anggota Pentadbiran, saya akan terus melaksanakan amanah dengan profesional serta menjaga ketertiban bahasa dan semangat kerjasama ketika mewakili Kerajaan,” katanya lagi.
Surat permohonan maaf tersebut diakhiri dengan serangkap pantun yang ditujukan kepada Perdana Menteri:
Bunga rimbun, cantik tercipta
Berakar umbi, menambah seri
Maaf dipohon, saya pinta
Kepada YAB, Perdana Menteri


