
PERTH – Delegasi Pejabat Ombudsman Sarawak telah mengadakan lawatan kerja ke Equal Opportunity Commission (EOC) di Perth sebagai sebahagian daripada program Sarawak Ombudsman Working Visit to Australia.
Lawatan tersebut bertujuan memperkukuh kerjasama antarabangsa serta menimba pengetahuan mengenai amalan terbaik dalam pengendalian aduan dan ketelusan tadbir urus selaras dengan usaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam di Sarawak.
Delegasi berkenaan diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti & Ombudsman), Datuk Murshid DiRaja Datuk Dr. Juanda Jaya bersama Ketua Ombudsman Sarawak, Datuk Seri Abdul Ghafur Shariff serta barisan Ombudsman Sarawak dan pegawai Pejabat Ombudsman Sarawak.
Dalam sesi lawatan itu, rombongan mengadakan pertemuan rasmi dengan Dr. John Byrne, Western Australian Commissioner for Equal Opportunity Commission.
Pertemuan tersebut membuka ruang kepada pertukaran pandangan mengenai sistem pengendalian aduan, dasar perlindungan hak individu dan mekanisme penyelesaian kes yang diamalkan oleh EOC.
Delegasi memaklumkan bahawa EOC mempunyai rangka kerja pengendalian aduan yang komprehensif berasaskan prinsip ketelusan, akses sama rata dan pendekatan penyelesaian yang berorientasikan rakyat.
Lawatan tersebut turut memberikan pendedahan kepada model penyampaian perkhidmatan yang berkesan dan berpotensi dijadikan rujukan dalam memperkukuh fungsi Ombudsman Sarawak.
Rombongan turut dibawa meninjau operasi harian EOC termasuk kemudahan ruang mediasi yang direka khas bagi memastikan keselesaan pengadu serta keselamatan pegawai sepanjang proses penyelesaian konflik.
Penglibatan individu Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai sebahagian daripada tenaga kerja di pejabat itu turut menarik perhatian delegasi, menggambarkan komitmen EOC terhadap prinsip kesamarataan dan inklusiviti dalam persekitaran kerja.
Perbincangan dua hala turut menyentuh usaha memperkukuh peranan institusi ombudsman dalam menegakkan ketelusan dan akauntabiliti perkhidmatan awam.
Kedua-dua pihak bersetuju kerjasama strategik dan perkongsian pengetahuan akan membantu meningkatkan kecekapan pengendalian aduan serta memperluas pemahaman masyarakat mengenai peranan ombudsman.
Lawatan kerja ini selari dengan aspirasi kerajaan Sarawak untuk memperkukuh tadbir urus yang responsif, telus dan berakauntabiliti seperti digariskan dalam Ordinan Ombudsman Sarawak 2023 dan Post-COVID-19 Development Strategy (PCDS) 2030.
Fokus utama adalah memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang cekap, inklusif dan berkesan demi kesejahteraan rakyat Sarawak.


