
KABONG – Polis menahan dua lelaki dalam siasatan kes kecurian bahan binaan di sebuah rumah di Lot Baru, Kabong, selepas mangsa membuat laporan pada 12 November lalu.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kes itu dikesan selepas seorang wanita berusia 31 tahun dimaklumkan jirannya pada 16 Oktober mengenai seorang lelaki mencurigakan yang dilihat berhenti di hadapan rumah bapanya sebelum mengambil beberapa batang paip dan kayu belian.
“Hasil pemeriksaan kemudian mendapati empat batang saluran paip putih dan empat batang kayu belian berukuran 18 kaki hilang, dengan nilai kerugian dianggarkan RM2,512,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Berikutan laporan itu, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Saratok melancarkan operasi dan menahan dua suspek di lokasi berasingan.
Suspek pertama, lelaki berusia 44 tahun dari Kabong yang mempunyai dua rekod jenayah lalu, diberkas pada 12 November di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan sama. Ujian air kencing mendapati dia positif amphetamine dan methamphetamine.
Suspek kedua, lelaki berusia 62 tahun dari Saratok yang bekerja sebagai pekebun sawit dan tidak mempunyai rekod lampau, ditahan sehari kemudian di Kampung Kabong.
Pada 13 November lalu, hasil maklumat dan tunjuk arah kedua-dua suspek, polis menemukan semula dua batang kayu belian berukuran 18 kaki di hadapan sebuah rumah di Kampung Hulu, Kabong.
Siasatan mendapati suspek pertama mengaku mencuri kayu belian itu untuk mendapatkan wang membeli dadah, sebelum menjualnya kepada suspek kedua pada harga RM70 sebatang.
Polis kini meneruskan siasatan bagi melihat kemungkinan penglibatan kedua-duanya dalam kes kecurian lain di kawasan sekitar.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.


