
KOTA KINABALU – Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengumumkan 51 calon GRS yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17) Dewan Undangan (DU) Sabah, dengan baki empat lagi kawasan akan diumumkan esok.
Hajiji berkata, sebanyak 35 peratus daripada calon yang diketengahkan adalah muka baharu, satu langkah strategik bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dalam gabungan itu.
“Hanya tinggal empat lagi kawasan yang saya akan umumkan besok.
“Calon-calon ini adalah gabungan mereka yang berpengalaman dengan orang-orang muda,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pengumuman Calon GRS di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, senarai calon yang diumumkan merupakan gabungan antara pemimpin berpengalaman dan golongan muda yang diyakini mampu membawa aspirasi rakyat Sabah ke arah pembangunan dan kestabilan politik negeri.
“Sebanyak 35 peratus calon adalah muka baharu.
“Jadi, saya yakin calon-calon yang kita tampilkan ini adalah mereka yang boleh menang dalam pilihan raya ini,” katanya.
Menjawab pertanyaan mengenai empat kawasan yang belum diumumkan, Hajiji menjelaskan tiada isu cuma ia akan diumumkan esok.
“Tidak ada isu. Esok kita akan umumkan empat kawasan lagi,” jelasnya.
Menurut Hajiji, pengumuman kali ini melibatkan calon-calon daripada semua parti komponen GRS termasuk Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).
“Kita tidak kira apa parti. Kita kira GRS. Ini adalah calon atas nama Gabungan Rakyat Sabah.
“Penyokong-penyokong GRS dan juga parti-parti komponen mesti bekerja kuat untuk memastikan calon kita menang dalam pilihan raya ini dan kita yakin kita akan menang dalam pilihan raya ini,” katanya.





